Kerajaan teliti cadangan wajibkan pelabelan kandungan AI di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2024
KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti cadangan mewajibkan pelabelan kandungan yang dihasilkan kecerdasan buatan (AI) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2024, yang dijangka dikuatkuasakan penghujung tahun ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi membendung penyalahgunaan AI, terutamanya dalam media sosial yang boleh digunakan untuk tujuan penipuan, penyebaran fitnah, dan penyamaran identiti.
“Mungkin kita akan pertimbangkan keperluan untuk pelabelan ini melalui Akta Keselamatan Dalam Talian, yang akan berkuat kuasa, insya Allah, hujung tahun ini.
“Kita juga melihat platform-platform digital perlu bersifat proaktif dalam melabelkan kandungan yang dihasilkan oleh AI sebagai AI generated content,” katanya selepas menghadiri program Institut Perhubungan Awam Malaysia YOU & AI: MEET@BANGSAR, di sini hari ini.
Mengenai kebimbangan terhadap penyebaran video dan gambar palsu yang dihasilkan AI, beliau berkata setakat ini tiada garis panduan kawal selia yang memuaskan di peringkat global.
Namun begitu, Fahmi berkata perbincangan aktif sedang dijalankan, termasuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), berhubung perkara tersebut.
Terdahulu, Fahmi menegaskan bahawa AI tidak boleh menggantikan peranan manusia sepenuhnya.
Beliau turut menekankan pentingnya generasi akan datang, khususnya Gen Alpha, untuk memahami manfaat, cabaran, dan batasan AI memandangkan mereka akan membesar dalam dunia yang dipenuhi kecerdasan buatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












