BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Warga emas ditemukan maut dalam longkang selepas keluar beraya

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan keluar beraya ke rumah rakannya, ditemui maut dalam longkang di Bandar Country Homes, Rawang, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 73 tahun itu keluar dari rumah kira-kira pukul 1 tengah hari kelmarin selepas memaklumkan kepada adiknya bahawa beliau ingin menziarahi seorang rakan.

“Pada keesokan paginya, sekitar jam 9 pagi, adik mangsa gagal menghubunginya. Usaha mencari di rumah rakan serta kawasan sekitar turut tidak menemui sebarang petunjuk.

Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang sebelum ditemui oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noor Ariffin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu pada jam 12.40 tengah hari semalam.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Pegawai Perubatan dari Hospital Sungai Buloh.

Mayat dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Polis Balai Bandar Country Homes, Asisten Superintendan Murziana Qayyisa Angu di talian 012-528 5499 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-6126 2222.

Terdahulu, media melaporkan mayat seorang lelaki tempatan ditemukan di dalam longkang sedalam 1.2 meter di Taman Desa Country Homes.

Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikerahkan ke lokasi bagi membantu mengangkat mayat mangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button