JENAYAH & MAHKAMAH

Warga emas ditemukan maut selepas tetak lelaki di restoran

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas yang disyaki terbabit dalam insiden menetak seorang individu di sebuah restoran berhampiran Pasar Pulau Tikus ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Solok Codrington, di sini, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, sebelum itu seorang lelaki berusia 58 tahun dalam keadaan berlumuran darah tampil membuat laporan di Balai Polis Pulau Tikus kira-kira jam 6.30 pagi selepas mendakwa ditetak oleh individu dikenali.

Menurutnya, mangsa mendakwa kejadian berlaku di sebuah restoran berhampiran Pasar Pulau Tikus.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Hasil maklumat diberikan mangsa, polis telah pergi ke sebuah rumah di Solok Codrington kira-kira jam 8.05 pagi bagi mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, polis menemukan seorang lelaki berusia 68 tahun yang disyaki suspek dalam kes tersebut telah meninggal dunia.

“Senjata dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut ditemukan dalam tong sampah di kawasan Pasar Pulau Tikus, kira-kira 50 meter dari lokasi serangan.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada isu kewangan antara mangsa dan suspek,” katanya lagi.

Beliau memaklumkan, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button