YADIM pertahan pembinaan Masjid Warisan di TRX, sifatkan bantahan tidak berasas
KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menegaskan bahawa pembinaan Masjid Warisan di hadapan Menara Tun Razak Exchange (TRX) merupakan satu keperluan awam yang sah serta hak yang wajar dinikmati oleh ribuan pekerja Muslim di kawasan kewangan utama negara itu.
Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Zamri Zainal Abidin berkata, gesaan segelintir pihak yang mempertikaikan projek berkenaan adalah tidak berasas dan bercanggah dengan semangat perpaduan yang digariskan dalam Aspirasi Malaysia MADANI.
Menurut beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, sebelum ini turut menjelaskan bahawa projek Masjid Warisan telah dirancang sejak sekian lama dan akan dilaksanakan bagi memperkukuh peranannya sebagai pusat keharmonian masyarakat.
Beliau turut membandingkan kewujudan masjid di kawasan mercu tanda seperti KLCC dan Merdeka 118 yang disifatkan berjaya berkembang sebagai pusat kewangan serta pelancongan antarabangsa tanpa menimbulkan sebarang konflik atau menjejaskan aktiviti ekonomi.
“Keadaan ini membuktikan bahawa masjid dan aktiviti perniagaan mampu wujud secara harmoni dalam ekosistem bandar moden.
“Oleh itu, TRX sebagai kawasan kewangan utama negara tidak seharusnya menjadi pengecualian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama katanya, YADIM turut menolak dakwaan bahawa laungan azan akan mengganggu aktiviti perniagaan, sambil menegaskan tiada undang-undang atau dasar yang mewajibkan operasi komersial dihentikan ketika azan berkumandang.
Menurutnya, tanggapan sedemikian tidak berasaskan fakta dan hanya mencetuskan prasangka yang tidak perlu.
Mengulas lanjut beliau berkata pembinaan Masjid Warisan selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan inklusif, keluhuran institusi dan kemakmuran bersama, selain memastikan pekerja Muslim di kawasan TRX tidak dinafikan kemudahan asas untuk beribadah.
Sehubungan itu beliau menggesa semua pihak, khususnya pemimpin politik, supaya tidak mengeksploitasi isu pembinaan masjid bagi kepentingan politik kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan yang tidak diperlukan.
Menurut beliau lagi, tiada pihak berhak menghalang pembinaan masjid atas alasan yang tidak disokong fakta serta hanya bersandarkan andaian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












