Ahmad Zahid serah watikah, Wan Rosdy jadi penghubung usahawan negeri
KUALA LUMPUR – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini secara rasmi menerima watikah pelantikan sebagai Penasihat Khas kepada Majlis Pembangunan Usahawan Bumiputera dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan.
Watikah pelantikan tersebut diserahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi susulan pengumuman lantikan itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April lalu.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, peranan Wan Rosdy adalah sebagai penghubung antara majlis dengan Exco negeri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal keusahawanan.
Menurut beliau, langkah itu sejajar dengan peranan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang kini mengurus lebih 10 agensi berkaitan bagi memastikan penyeragaman dasar serta pelaksanaan di peringkat nasional dan negeri.
“Datuk Seri Wan Rosdi akan membantu memperkukuh dan mempertingkatkan pembangunan dalam bidang keusahawanan agar lebih tersusun dan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) di ibu negara hari ini.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan timbalannya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.
Ahmad Zahid berkata, ketika ini terdapat kira-kira 1.089 juta rakyat Malaysia terbabit dalam bidang keusahawanan, sama ada dalam sektor makro, kecil atau sederhana, dengan 71 peratus daripadanya terdiri daripada perusahaan mikro.
Katanya, jumlah itu perlu ditingkatkan dengan usaha menaik taraf perusahaan mikro kepada kategori kecil supaya nilai pengeluaran dan perkhidmatan yang dihasilkan dapat menyumbang lebih besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta eksport negara.
“Ketika ini, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) antara penyumbang dalam eksport negara dan ia tidak mustahil untuk terus ditingkatkan,” katanya.
Beliau menambah, kira-kira 731,000 individu terlibat dalam guna tenaga di bawah sektor PMKS dan angka ini juga boleh ditingkatkan menerusi program latihan TVET serta keusahawanan yang lebih komprehensif.
“Kita mahu graduan TVET bukan sekadar memiliki kemahiran untuk bekerja dan menerima gaji, tetapi berani menceburi bidang perniagaan sendiri kerana sembilan daripada 10 sumber rezeki datangnya daripada perniagaan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












