Spekulasi hantaran Zaquan Adha: Faisal Halim enggan cepat melatah
PERMATANG PAUH – Bintang Selangor FC, Faisal Halim memilih untuk kekal tenang dan tidak cepat melatah susulan spekulasi sesetengah pihak yang mengaitkan dirinya dengan status media sosial bekas pemain kebangsaan, Zaquan Adha yang tular baru-baru ini.
Pemain berusia 28 tahun itu berkata, beliau tidak pasti kepada siapa kenyataan berkenaan ditujukan dan menegaskan fokusnya ketika ini adalah terhadap kerjaya serta komitmen penuh kepada program pembangunan sukan akar umbi melalui Kelab DNA Faisal Halim yang berpangkalan di Pulau Pinang.
“Saya pun tidak tahu dia kata dekat siapa. Tetapi kalau dia tuju kepada saya, dia kena ‘mention’ saya. Kalau dia ‘mention’ saya, saya akan ‘reply’,” katanya ketika ditemui di Padang Mengkuang Titi di sini, semalam, lapor BH Online.
Mengulas alnjut, Faisal berkata, sebarang salah faham seharusnya diselesaikan secara terus antara individu terbabit tanpa perlu dibawa ke platform media sosial.
“Tetapi kalau benda tiada apa-apa isu, perkara sikit-sikit ini kenapa nak ke media sosial? Kalau dia ada masalah dengan saya, kita berhubung secara baik,” katanya lagi.
Sebelum ini, nama Zaquan Adha menjadi perhatian peminat bola sepak tempatan selepas beberapa hantaran di Instagram Story miliknya pada Jumaat lalu tular di media sosial.
Hantaran berkenaan dipercayai mengandungi luahan peribadi berkaitan sikap dan profesionalisme yang ditujukan kepada seorang pemain bola sepak tanah air, namun tidak dinyatakan secara jelas individu yang dimaksudkan.
Menerusi hantaran sama, Zaquan turut menyentuh isu populariti, kadar bayaran serta nilai hormat dalam kalangan pemain, sekali gus mencetus pelbagai andaian di media sosial.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, namun setakat ini Zaquan belum mengeluarkan sebarang penjelasan lanjut berhubung hantaran berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












