JENAYAH & MAHKAMAH

Zizie Izette terkejut terima RM2.8 juta, dakwa wang ‘pengenalan’ diberi secara sukarela

KUALA LUMPUR – Balu kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, iaitu Zizie Izette Abdul Samad memberitahu Mahkamah Sesyen beliau terkejut apabila dimaklumkan akan menerima wang berjumlah RM2.8 juta sebagai wang pengenalan selepas memperkenalkan FELCRA Berhad kepada perunding unit amanah Public Mutual Berhad.

Zizie berkata, wang tersebut diberikan secara sukarela oleh pihak agensi berkenaan dan beliau tidak mengetahui mengenainya sebelum dimaklumkan melalui panggilan telefon.

Menurutnya, beliau turut menafikan dakwaan bahawa dirinya bersubahat dengan suaminya dalam sebarang salah laku berkaitan pelaburan RM150 juta oleh FELCRA dalam produk unit amanah syarikat tersebut.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai wang pengenalan itu kerana saya merasakan tidak melakukan apa-apa yang besar,” katanya ketika membela diri dalam perbicaraan kes rasuah di mahkamah hari ini.

Beliau juga mengakui tidak memaklumkan kepada suaminya mengenai wang tersebut kerana masing-masing menguruskan hal kewangan secara berasingan.

“Saya menguruskan perkara itu sendiri kerana suami saya tidak terbabit dalam urusan perniagaan ataupun pelaburan saya.

“Oleh kerana bayaran pengenalan ini berkaitan dengan urusan peribadi saya, saya rasa tidak perlu untuk memaklumkan kepadanya,” katanya lagi.

Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Zizie turut mengakui tidak menolak pemberian wang tersebut selepas diberi penjelasan mengenai sumbernya oleh ejen unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar.

Menurutnya, beliau hanya bersetuju menerima wang itu selepas diyakinkan bahawa ia merupakan komisen daripada agensi pelaburan berkenaan.

Bagaimanapun, Zizie menolak cadangan pihak pendakwaan bahawa wang tersebut merupakan suapan.

Dalam kes berkenaan, Zizie didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA memperoleh suapan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk lembaga itu membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button