JENAYAH & MAHKAMAH

11 ditahan, polis nafi abai kes lelaki dipukul di Wakaf Bharu

TUMPAT – Polis menafikan dakwaan tiada tindakan diambil berhubung kes seorang lelaki dipukul beramai-ramai di Kampung Kutan, Wakaf Bharu pada 31 Mac lalu, sebaliknya mengesahkan seramai 11 individu ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asistan Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, semua suspek berusia antara 18 hingga 67 tahun itu ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan selesai dijalankan.

Menurutnya, seorang lelaki berumur 36 tahun akan didakwa di bawah Seksyen 334 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tumpat pada 19 April ini.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham keluarga yang membawa kepada pergaduhan membabitkan kedua-dua pihak dan masing-masing mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menegaskan, pihak polis telah mengambil tindakan sewajarnya terhadap semua yang terlibat dan siasatan dijalankan secara telus, profesional serta menyeluruh bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau belum disahkan oleh pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button