JENAYAH & MAHKAMAH

Kes pukul anggota tentera: Suspek didakwa hari ini

BENTONG – Seorang anggota tentera berpangkat Koperal yang dipercayai terbabit dalam kes memukul tujuh rakan setugas sehingga menyebabkan seorang mangsa koma, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Bentong, hari ini.

Suspek berusia 37 tahun itu tiba di mahkamah pada pukul 8.50 pagi dengan kawalan ketat anggota polis.

Sebelum ini, lelaki berkenaan direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang berlaku di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 31 Mac lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, polis telah merakam keterangan seramai 15 saksi bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, semua saksi terdiri daripada pengadu iaitu bapa mangsa, pegawai serta anggota tentera, enam lagi mangsa lain dan juga pegawai perubatan.

BACA JUGA:

Tidak puas hati arahan tugas cetus insiden pukul sesama anggota tentera

Seorang koma, 6 cedera kes pukul anggota tentera

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati berkaitan tugasan pembersihan stor senjata.

Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat, seorang anggota berpangkat Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) dipercayai bertindak menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk bahagian muka serta perut tujuh anggota lain.

Insiden itu menyebabkan salah seorang mangsa, Muhammad Amirul Raziq, 24, berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami kegagalan otak menerima oksigen sehingga mengakibatkan kerosakan tisu otak.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 8 malam pada 30 Mac lalu, sebelum laporan polis dibuat oleh bapa mangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button