115 jurutera lepasi PCE 2025, layak mohon status profesional – Alexander
KUALA LUMPUR – Seramai 115 jurutera berjaya lulus Peperiksaan Kecekapan Profesional (Professional Competency Examination – PCE) 2025, sekali gus layak memohon pendaftaran sebagai Professional Engineer with Practising Certificate (PEPC).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pencapaian tersebut mencerminkan tahap kompetensi, profesionalisme serta keupayaan jurutera tempatan yang tinggi dalam memenuhi piawaian kejuruteraan yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Daripada 583 calon yang menduduki peperiksaan ini secara serentak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, seramai 115 calon telah berjaya melepasi tahap kelulusan yang ditetapkan.
“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan para calon, malah mengukuhkan reputasi profesion kejuruteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Keputusan peperiksaan diumumkan secara rasmi oleh Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) pada 22 Januari 2026 dan boleh disemak melalui portal https://engineer.org.my
Alexander Nanta berkata, Peperiksaan Kecekapan Profesional yang dikendalikan oleh LJM diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekali gus memastikan jurutera Malaysia memiliki kelayakan dan kompetensi setara dengan standard global.
“Di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138), LJM terus memainkan peranan penting dalam mengawal selia profesion kejuruteraan, menilai tahap profesionalisme serta memastikan keselamatan awam dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan lebih ramai jurutera profesional tempatan agar tampil memohon menduduki peperiksaan berkenaan sebagai langkah penting untuk meningkatkan kerjaya, memperkukuh kredibiliti profesional serta menyumbang kepakaran dalam pembangunan negara.
“Kerajaan melihat keperluan untuk melahirkan lebih ramai jurutera profesional berdaftar bagi menyokong agenda pembangunan negara yang mampan. Sehubungan itu, jurutera yang layak diseru agar merebut peluang ini dan berani melangkah ke tahap profesional yang lebih tinggi,” katanya.
Bagi calon yang tidak berjaya dalam PCE 2025, rayuan boleh dikemukakan kepada LJM selewat-lewatnya 6 Februari ini dan semua rayuan akan dipertimbangkan secara telus mengikut garis panduan sedia ada.
Sementara itu, permohonan bagi PCE 2026 akan dibuka mulai 1 April hingga 31 Ogos ini melalui sistem permohonan dalam talian LJM, manakala maklumat lanjut akan diumumkan secara berkala melalui portal rasmi dan saluran komunikasi Lembaga Jurutera Malaysia.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai keputusan PCE 2025, rayuan atau permohonan PCE 2026 boleh diajukan kepada Urusetia PCE LJM di talian 03-2691 2090 (sambungan 146 atau 147) atau melalui e-mel pce@bem.org.my
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












