BERITA SEMASA

KKR teliti permintaan kontraktor Kelas F naik had nilai projek kepada RM300,000

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan meneliti cadangan untuk meningkatkan had nilai kontrak bagi kontraktor Bumiputera Kelas F daripada RM200,000 kepada RM300,000 bagi membantu mereka berdepan cabaran semasa dalam industri pembinaan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu antara isu utama yang dibangkitkan oleh Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) semasa Mesyuarat Perwakilan Tahunan Ke-13 persatuan berkenaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini.

Ajk
Alexander Nanta bersama Ahlijawatankuasa PERKOFB hari ini

Menurut beliau, kerajaan memahami cabaran yang dihadapi kontraktor Kelas F susulan peningkatan kos operasi serta keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

“Antara perkara yang dibangkitkan ialah permohonan supaya had nilai kontrak yang kini ditetapkan pada RM200,000 dinaikkan kepada RM300,000.

“Kita mendengar pandangan mereka dan mengambil maklum perkara tersebut kerana kontraktor Kelas F merupakan sebahagian penting daripada pemain industri pembinaan negara yang membantu menjayakan pelaksanaan projek kerajaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, satu lagi isu yang diketengahkan ialah pelaksanaan keputusan kerajaan pada 2019 yang menggalakkan kontraktor Kelas F yang telah lama berada dalam kategori tersebut untuk berpindah ke gred lebih tinggi bagi membuka peluang kepada kontraktor baharu.

“Bagaimanapun, ramai kontraktor Kelas F berpendapat langkah itu sukar dilaksanakan kerana persaingan yang lebih sengit pada gred lebih tinggi selain peluang mendapatkan projek yang lebih terhad.

“Selepas mendengar pandangan mereka, saya telah berbincang dengan Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha KKR serta pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) supaya satu perbincangan dalaman dilakukan dalam masa terdekat.

“Kita akan melihat hala tuju terbaik sebelum perkara ini dibawa kepada pihak berkaitan termasuk Kementerian Kewangan kerana ia melibatkan soal dasar,” katanya lagi.

Mengulas dakwaan kontraktor mengenai kekurangan projek dan kenaikan harga bahan binaan, Alexander berkata kerajaan telah mengambil langkah awal dengan menambah peruntukan projek untuk kontraktor gred rendah.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan peningkatan peruntukan projek untuk kontraktor G1 hingga G4 daripada RM2.4 bilion kepada RM4 bilion bagi tahun 2026.

“Peningkatan peruntukan itu sudah tentu dapat membantu menangani isu kekurangan projek yang dibangkitkan oleh kontraktor.

“Dari segi kaedah pelaksanaan dan agihan projek, perkara itu akan diperhalusi supaya manfaatnya dapat disampaikan dengan sebaik mungkin kepada golongan sasaran,” katanya lagi.

Dalam majlis sama, Alexander turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada PERKOBF bagi menyokong pelaksanaan aktiviti persatuan tersebut.

Beliau berharap peruntukan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasakan peranan kontraktor Bumiputera Kelas F dalam industri pembinaan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button