13 rakyat Malaysia masih di Iran – Mohamad
KUALA LUMPUR – Seramai 13 rakyat Malaysia memilih untuk kekal berada di Iran walaupun telah dinasihatkan keluar dari negara berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kesemua individu berkenaan telah diminta menandatangani surat aku janji serta indemniti sekiranya berlaku apa-apa sepanjang berada di sana.
“Rakyat Malaysia di Iran tidak ramai, ada 13 orang; dua atau tiga melibatkan pelajar. Mereka ini kita telah beri nasihat untuk dibawa balik tetapi ada yang tidak mahu balik, jadi 13 masih di Iran.
“Kita telah meminta mereka tandatangani surat indemniti bahawa mereka jika jadi apa-apa, kerajaan Malaysia tak boleh dipersalahkan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang meminta Menteri Luar menyatakan pelan evakuasi bagi warga Malaysia di Iran dan negara yang dijangka terlibat susulan konflik antara Iran dan AS serta jumlah rakyat Malaysia di negara berkenaan.
Mohamad kemudian memaklumkan, semua kakitangan dan ahli keluarga diplomat Malaysia di Tehran telah diminta pulang lebih awal pada 18 Januari dan 2 Februari lalu melalui pelan perundingan.
Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak merancang perjalanan ke Iran buat masa ini jika tiada urusan penting.
“Saya minta rakyat jangan pergi ke sana jika tidak ada urusan penting. Apa juga kemungkinan akan berlaku,” katanya lagi.
Kebimbangan di Asia Barat semakin memuncak apabila Amerika Syarikat (AS) menumpukan aset ketenteraan miliknya di rantau berkenaan sebagai persediaan menghadapi konflik dengan Iran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












