BERITA SEMASA

555 murid terima sumbangan beg sekolah, alat tulis daripada Aideaz Integrated

CHERAS – Kira-kira 555 orang murid sekolah di daerah ini menerima sumbangan peralatan dan kelengkapan sekolah bagi menghadapi musim persekolahan.

Kesemua mereka menerima sumbangan berupa beg sekolah serta kelengkapan alat tulis sempena Program 555 Sumbangan Beg Sekolah anjuran Aideaz Integrated Sdn Bhd.

Pengarah Eksekutif Aideaz Integrated, Saufi Mokhtar berkata, program berkonsepkan tanggungjawab sosial korporat berkenaan dianjurkan bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah khususnya di kalangan berpendapatan rendah.

“Ini adalah satu usaha kecil kami untuk memberikan sokongan kepada keluarga yang mungkin menghadapi cabaran kewangan dalam memenuhi keperluan asas pendidikan anak-anak mereka,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Saufi Mokhtar berkata, pihak Aideaz Integrated akan terus merangka pelbagai lagi inisiatif berkebajikan khususnya dalam membantu masyarakat dan komuniti kawasan itu.

“Kita berharap agar program seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan bagi membantu ibu bapa terutamanya dari kalangan B40,” ujarnya lagi.

Sementara itu, salah seorang penerima, Tajul Afizal berkata, beliau menzahirkan rasa syukur di atas keprihatinan organisasi korporat berkenaan dalam menyumbang kepada masyarakat.

“Walaupun hanya beg sekolah dan alat tulis tapi ini cukup bermakna bagi kami yang kurang berkemampuan ini. Terima kasih Aideaz Integrated,” katanya.

Beliau menambah, keberhasilan inisiatif Aideaz Integrated dalam memberikan sumbangan kepada 555 murid tampak jelas memberi kegembiraan kepada pelajar dan ibu bapa.

“Ucapan terima kasih daripada mereka turut mencerminkan impak positif yang telah diterima oleh masyarakat,” ujar beliau

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button