60 peratus kebakaran rumah berpunca peralatan elektrik – Bomba
PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mendedahkan kira-kira 60 peratus kes kebakaran rumah di negara ini berpunca daripada masalah berkaitan peralatan dan sistem elektrik.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, antara punca utama kebakaran membabitkan pendawaian elektrik yang sudah usang, pengubahsuaian sistem tanpa mematuhi piawaian, serta penggunaan peralatan elektrik secara berlebihan dalam sesebuah kediaman.
“Ramai yang ambil mudah soal keselamatan elektrik di rumah. Pendawaian lama, suis kerap ‘trip’, dan penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi seperti penyaman udara, pemanas air dan peti sejuk beku menyebabkan lebihan beban elektrik,” katanya memetik laporan Awani.
Menurut beliau, kesilapan seperti menyambung terus fius yang rosak atau mengubah suai sistem keselamatan elektrik boleh menyebabkan kebakaran besar sekiranya sistem gagal memutuskan bekalan elektrik ketika berlaku litar pintas atau suhu berlebihan.
Sehubungan itu, beliau menasihati pemilik rumah supaya menjalankan pemeriksaan pendawaian elektrik setiap 10 hingga 15 tahun oleh juruelektrik bertauliah, terutamanya bagi rumah yang sudah berusia atau baru siap dibina.
“Jangan ambil mudah kerosakan awal elektrik. Ada soket yang selalu trip, lepas trip trip lagi, tapi kita biarkan. Panggillah orang yang tahu tentang pendawaian elektrik untuk kenal pasti masalah itu,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan, selain isu berkaitan elektrik, aktiviti memasak juga menjadi antara penyumbang utama kebakaran rumah, terutama apabila dapur ditinggalkan tanpa pengawasan atau berlaku kebocoran gas.
Katanya, nilai kerugian harta benda akibat kebakaran pada tahun 2023 dianggarkan mencecah RM1.6 bilion, berkurangan berbanding RM2.66 bilion pada tahun sebelumnya walaupun jumlah kebakaran struktur meningkat.
“Faktor seperti kecekapan respons pasukan bomba serta kesedaran penghuni yang bertindak awal menggunakan alat pemadam api berjaya mengurangkan kerugian akibat kebakaran rumah,” katanya lagi.
Nor Hisham turut menyarankan semua rumah dan bangunan memiliki sekurang-kurangnya satu unit alat pemadam api bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku kebakaran.
“Secara asasnya kita berpegang kepada prinsip mencegah lebih baik daripada merawat. Berdasarkan kajian Kerangka Sendai, setiap RM1 yang dilaburkan untuk pencegahan boleh memberi pulangan sehingga RM8 dari segi pengurangan kerugian apabila berlaku bencana,” katanya lagi.
Kerangka Sendai merupakan perjanjian antarabangsa bagi tempoh 2015 hingga 2030 yang menetapkan pendekatan pengurangan risiko bencana dengan menekankan kepentingan pemahaman risiko, pengukuhan tadbir urus, pelaburan dalam pencegahan dan peningkatan kesiapsiagaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












