LUAR NEGARA

7 terkorban dalam kebakaran hotel di Korea Selatan

SEOUL – Sekurang-kurang tujuh maut dan 12 lagi cedera dalam kebakaran sebuah hotel di Bucheon, barat Seoul.

Memetik laporan Reuters, Kementerian Dalam Negeri Korea Selatan memaklumkan, kebakaran dilaporkan bermula di tingkat lapan hotel setinggi sembilan tingkat itu sekitar jam 7.40 malam tadi sebelum berjaya dipadamkan kira-kira dua jam kemudian.

Menterinya, Lee Sang-min telah mengarahkan usaha menyelamat dilaksana dengan menggerakkan segala sumber berkaitan yang sedia ada.

Sementara itu, pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Bucheon, Lee Sang-don, berkata, tujuh individu terkorban setakat ini yang merupakan pelanggan hotel terbabit.

“Seramai 12 mangsa pula dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, termasuk tiga berada dalam keadaan kritikal,” katanya.

Beliau berkata, antara mangsa meninggal dunia ialah satu pasangan yang melompat keluar dari tingkap ke atas tilam angin yang dipasang di hadapan bangunan hotel itu.

“Tilam itu membuka secara normal tetapi dilihat terbalik apabila mereka melompat turun ke atasnya,” katanya.

Tambah Sang-don, pihak berkuasa sedang mengenal pasti punca pencetus kebakaran.

Difahamkan, tiada sistem pancuran air pemadam kebakaran dipasang di dalam bangunan terbabit yang mana perkara itu tidak diwajibkan ketika hotel berkenaan siap dibina pada 2003.

Kira-kira 160 anggota bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian, lapor agensi berita Yonhap yang memetik pihak berkuasa bomba wilayah berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button