KPN terima kunjungan hormat Duta Besar Korea Selatan
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung Bae di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman semalam.
PDRM berkata, pertemuan tersebut menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik yang telah lama terjalin antara PDRM dan Kedutaan Republik Korea, khususnya dalam aspek keselamatan, penguatkuasaan undang-undang serta kerjasama antarabangsa.
“Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai usaha meningkatkan kerjasama dalam membanteras jenayah rentas sempadan termasuk penipuan dalam talian dan ancaman jenayah transnasional yang semakin kompleks.
“Perbincangan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan jaringan kerjasama bagi menangani cabaran keselamatan semasa yang memerlukan tindakan bersama antara agensi penguatkuasaan kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan pelaksanaan program latihan bahasa Korea kepada pegawai PDRM bagi meningkatkan keupayaan komunikasi dan memperkukuh hubungan kerja antara agensi keselamatan Malaysia dan Korea Selatan.
Turut disentuh dalam pertemuan itu ialah cadangan berkaitan pengiktirafan Permit Memandu Antarabangsa Republik Korea yang dijangka dapat memudahkan urusan perjalanan serta mobiliti rakyat kedua-dua negara.
Hadir sama dalam sesi kunjungan hormat berkenaan ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar; Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, Datuk Mohammad Shaharul Md Osman; Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, Datuk Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar; Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Mohd Mahidisham Ishak dan Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Mohamad Noor Yusof Ali.
Turut serta delegasi Kedutaan Republik Korea ke Malaysia yang menyertai sesi perbincangan bagi meneroka peluang kerjasama lebih luas antara kedua-dua negara dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












