97.8 peratus projek penyelenggaraan tandas disiapkan sepenuhnya – KPM
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini memaklumkan bahawa sebanyak 7,852 atau 97.8 peratus projek penyelenggaraan tandas dan penyelenggaraan kecil di sekolah dan institusi pendidikan berjaya disiapkan sepenuhnya setakat 29 Februari lepas.
KPM dalam jawapan bertulisnya yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen memaklumkan, projek yang dilaksanakan di bawah peruntukan khas Naik Taraf dan Penyelenggaraan Kecil Institusi Pendidikan Tahun 2023 berjumlah RM654.29 juta itu melibatkan 8,354 sekolah dan institusi pendidikan.
“Ia melibatkan 8,306 sekolah kerajaan serta 48 institusi pendidikan (Kolej Matrikulasi, Institut Aminuddin Baki dan Kampus Institut Pendidikan Guru) dengan RM70,000 diperuntukkan bagi setiap sekolah kerajaan dan RM200,000 bagi setiap institusi pendidikan,” kata KPM.
Jawapan bertulis tersebut adalah bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang bertanyakan mengenai status projek naik taraf tandas sekolah dan faktor berlakunya projek yang gagal dilakukan dengan sempurna.
Kata KPM lagi, 174 atau 2.2 peratus projek masih di peringkat pelaksanaan dan 310 sekolah di Sarawak ditangguhkan pelaksanaannya dan akan diteruskan pada tahun ini, manakala baki 18 sekolah lagi digugurkan atas faktor sekolah baharu yang masih dalam tempoh liabiliti kecacatan.
Jelasnya, faktor penangguhan projek di Sarawak adalah disebabkan kekangan masa, lokaliti dan juga kekurangan pekerja binaan untuk menyiapkannya pada tahun lepas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












