AS–Iran perlu sahut usaha damai Pakistan – Anwar
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik tawaran Pakistan untuk menganjurkan dialog antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, yang disifatkan bertepatan ketika ketegangan kian meruncing.
Beliau berkata, usaha tersebut wajar dipuji kerana hadir pada saat bahaya serantau semakin memuncak, susulan perkembangan konflik yang membimbangkan.
Menurutnya, hubungan Pakistan dengan pihak berkaitan serta kedudukannya sebagai suara yang diyakini dalam dunia Islam meletakkan negara itu pada posisi kukuh untuk mewujudkan syarat bagi rundingan yang bermakna.
“Malaysia menyokong inisiatif berkenaan dan menggesa khususnya AS serta Iran agar memberi maklum balas dalam semangat yang sama seperti ditawarkan,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook semalam.
Mengulas lanjut, Anwar turut menyatakan harapan terhadap ruang untuk diplomasi dan ruang tersebut katanya, perlu dimanfaatkan dengan penuh kesungguhan.
Tambahnya, sebarang rundingan mesti dilaksanakan dengan niat sebenar untuk menamatkan konflik, bukannya sekadar mengawal tempo bagi kepentingan taktikal.
Katanya, komuniti antarabangsa telah menyaksikan terlalu banyak gencatan senjata yang bersifat sementara dan tidak bertahan lama, sekali gus gagal menjadi penyelesaian tuntas, sedangkan rantau itu memerlukan pendekatan yang lebih mampan dan berkekalan.
Sementara itu, beliau berkata, Malaysia menegaskan semula hak Iran untuk mempertahankan kedaulatannya seperti yang diiktiraf di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya berdepan serangan berterusan Israel di negara itu dan di Lebanon.
Pada masa sama, beliau menggesa semua pihak supaya mengamalkan tahap penahanan diri maksimum serta memastikan orang awam dan infrastruktur negara jiran, khususnya negara Teluk, tidak terus terheret dalam konflik yang bukan pilihan mereka.
Menurutnya, negara Teluk, rantau berkenaan dan dunia mempunyai kepentingan besar dari segi ekonomi, sosial serta kestabilan jangka panjang, dan rakyat tidak seharusnya menanggung akibat keputusan yang dibuat pihak lain.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan tidak sekata prinsip berasaskan peraturan antarabangsa oleh sesetengah pihak.
“Undang-undang antarabangsa tidak boleh digunakan secara terpilih sehingga melindungi satu pihak daripada pertanggungjawaban, tetapi menafikan hak mempertahankan diri pihak lain, kerana kredibilitinya bergantung kepada konsistensi,” ujar Anwar.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin Majlis Kerjasama Teluk, Turkiye, Mesir, Indonesia, Jepun, Pakistan serta rakan lain bagi memahami situasi dan menggesa usaha meredakan ketegangan.
Tegasnya, Malaysia akan terus menyokong setiap usaha yang berwibawa ke arah keamanan yang adil dan berkekalan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












