JENAYAH & MAHKAMAH

Siasatan MBI: Ahli perniagaan ditahan semula

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan semula ahli perniagaan yang ditahan reman sejak Khamis lalu bagi membantu siasatan dakwaan skandal rasuah membabitkan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).

Menurut sumber yang rapat dengan siasatan itu berkata, individu terbabit ditahan semula selepas perintah tahanan reman berkaitan kes pertama, tamat hari ini.

“Pegawai penyiasat memutuskan untuk menahan semula ahli perniagaan itu kerana menerima maklumat yang dia mungkin terbabit dalam satu lagi kes rasuah.

“Kes kedua juga ada kaitan dengan MBI, tetapi membabitkan projek lain di bawahnya,” kata sumber tersebut.

Difahamkan, suspek didakwa menerima rasuah daripada syarikat lain selepas berjaya mendapatkan kontrak berkaitan dengan MBI.

Ahli perniagaan itu merupakan antara empat individu yang ditahan SPRM minggu lalu berhubung siasatan skandal rasuah bernilai jutaan ringgit berkaitan konsesi perlombongan pasir di bawah anak syarikat badan pelaburan negeri berkenaan.

Seorang bekas pekerja MBI berusia 45 tahun ditahan semalam, manakala seorang pemandu berusia 43 tahun dan seorang bekas pegawai kewangan berusia 46 tahun yang didakwa terbabit dalam kes konsesi pasir itu, masing-masing direman selama tiga hari.

Dalam serbuan Sabtu lalu, SPRM menemukan SG$1.529 juta di sebuah lokasi yang dirujuk sebagai rumah selamat (safehouse).

Manakala kelmarin, pegawai SPRM turut menemukan dua rumah selamat lain dengan satu daripada rumah itu menempatkan wang tunai berjumlah kira-kira SG$74,000 iaitu RM243,000 mengikut kadar semasa.

Katanya, SPRM turut menemukan kira-kira RM78,000 di pejabat lain, selain menerima maklumat yang sebahagian wang sudah dilaburkan di Singapura dan mungkin terdapat akaun lain di bank berbeza.

Turut difahamkan, seorang ahli politik juga dikaitkan dengan siasatan itu, namun identiti beliau tidak didedahkan lagi setakat lagi.

Beberapa kertas siasatan dibuka mengikut Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button