SPRM tahan dua anggota polis disyaki terima rasuah
KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan reman dua anggota polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM5,000.
Rasuah itu dipercayai diterima sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan berkaitan aktiviti perjudian dan penyalahgunaan dadah.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 11 Mei 2025 telah dikeluarkan oleh Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selepas permohonan dikemukakan oleh pihak SPRM pagi tadi.
Menurut sumber siasatan, kedua-dua suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an dan 50-an ditahan antara pukul 12.30 tengah hari hingga 2 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Terengganu.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek pertama menerima suapan sekitar RM3,000 pada Ogos 2024 daripada seorang individu bagi tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan perjudian dan penyalahgunaan dadah.
“Manakala suspek kedua pula dipercayai terlibat dalam kes berasingan, apabila didakwa menerima suapan berjumlah RM2,000 dalam beberapa transaksi antara Disember 2022 hingga Mei 2023 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan berkaitan dadah,” menurut sumber siasatan.
Kedua-dua suspek disyaki menerima rasuah dalam bentuk wang tunai dan juga melalui pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan memaklumkan bahawa kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda bagi kesalahan menerima suapan.
“SPRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai penguat kuasa yang menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.
“Tindakan seperti ini jelas mencemarkan nama baik pasukan keselamatan dan menjejaskan kepercayaan awam,” katanya.
Tambah beliau lagi, pihaknya memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan.
“Usaha memerangi rasuah tidak hanya terletak di bahu SPRM sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi penguatkuasaan agar budaya integriti dan ketelusan dapat diterapkan dalam setiap lapisan perkhidmatan,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












