Isu kontrak Pearly-Thinaah: KBS harap BAM segera cari penyelesaian
PUTRAJAYA – Menteri Belia dan SukHannah Yeoh berharap isu kontrak beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah dapat diselesaikan segera oleh pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Hannah berkata, langkah itu penting bagi memastikan tumpuan mereka tidak terganggu dalam menghadapi temasya sukan utama akan datang.
Menurut Hannah, beliau belum menerima maklumat terkini mengenai status pasangan tersebut dan hanya mengetahui perkembangan semasa melalui laporan media.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya tidak tahu apa status terkini kerana saya juga baca berita. Setakat ini, yang saya baca mereka masih menunggu keputusan daripada BAM.
“Saya berharap BAM boleh mencari penyelesaian secepat mungkin agar perkara ini tidak menjejaskan persiapan atlet kita,” katanya kepada media ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Sukan Orang Kurang Upaya ASEAN 2025 di Putrajaya hari ini.
Pearly sebelum ini dilaporkan berkata, semua perbincangan berkaitan telah pun selesai dan kini mereka hanya menunggu pengumuman rasmi daripada pihak BAM.
Hannah berkata, Pearly-Thinaah merupakan antara atlet yang telah disenarai dalam program Road To Gold (RTG) sebagai prospek pingat.
Justeru itu, Hannah menegaskan sokongan penuh akan diberikan kepada mereka tidak kira di bawah BAM mahupun sebagai atlet profesional.
“Mereka sudah menunjukkan peningkatan dalam prestasi dan kita akan terus beri sokongan padu sama ada atlet di bawah BAM atau atlet profesional, RTG akan bantu. Saya harap kalau ada apa-apa perubahan, ia tidak akan mengganggu mereka,” katanya.
Baca juga : Empat pemain badminton sertai Program RTG 2025
Sementara itu, mengulas mengenai bantuan awal kepada peserta RTG, Hannah berkata Penyelaras Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam telah mengambil langkah segera bagi menyokong keperluan atlet profesional.
“Datuk Stuart sudah selesaikan beberapa perkara berdasarkan pengalaman kita dengan atlet pro. Mereka memang perlukan perkhidmatan ISN, termasuk bantuan kos jika ke luar negara.
“Bagi atlet pro, saya juga berharap kita dapat bantu carikan tempat latihan yang lebih sesuai secara peribadi, supaya mereka tidak perlu berlatih di lokasi terbuka seperti pusat beli-belah.
“Saya percaya Datuk Stuart akan koordinasikan bantuan ini dengan baik,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












