LUAR NEGARA

Trump tidak perlu kelulusan untuk serang Iran – Speaker Kongres

WASHINGTON – Keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump meluluskan serangan ke atas tiga pusat pengayaan nuklear Iran pagi tadi tidak perlu mendapat persetujuan Kongres kerana ia merupakan “situasi mendesak”.

Speaker Kongres, Mike Johnson dari Parti Republikan berkata, tindakan Trump adalah wajar dan selaras dengan tradisi tindakan ketenteraan oleh presiden-presiden terdahulu.

“Para pemimpin Kongres telah dimaklumkan mengenai keadaan yang mendesak ini dan Panglima Tertinggi (Presiden) menilai bahawa bahaya yang bakal berlaku lebih besar daripada tempoh masa yang diperlukan Kongres untuk bertindak,” katanya dalam satu hantaran di akaun X miliknya, hari ini.

Kenyataan itu dibuat bagi mempertahankan Trump susulan kritikan anggota Kongres daripada blok Demokrat dan beberapa ahli politik Republikan yang menyifatkan keputusan itu sebagai melanggar Perlembagaan AS kerana tidak mendapat persetujuan Kongres terlebih dahulu.

Bekas Speaker Kongres, Nancy Pelosi menuduh Trump “mengabaikan Perlembagaan dengan bertindak secara unilateral menggunakan tentera AS tanpa kebenaran Kongres.

pelosi

“Saya bersama rakan-rakan sejawatan menuntut penjelasan daripada pihak Pentadbiran berhubung operasi ini yang membahayakan nyawa rakyat Amerika serta berisiko mencetuskan eskalasi dan ketidakstabilan yang lebih serius di rantau tersebut,” katanya dalam satu hantaran di akaun X miliknya.

Sentimen sama turut dilontarkan Ketua Minoriti Kongres, Senator Hakeem Jeffries yang berkata Trump kini memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang akibat buruk yang bakal timbul susulan tindakannya.

“Presiden Trump telah mengelirukan negara mengenai niatnya, gagal mendapatkan kebenaran Kongres untuk penggunaan kekuatan tentera dan membahayakan penglibatan Amerika dalam peperangan berpotensi membawa malapetaka di Timur Tengah (Asia Barat),” kata Jeffries dalam satu kenyataan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button