BERITA SEMASADALAM NEGERI

Ahmad Jazlan dilantik semula terajui FELCRA

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA Berhad selepas mencatat kejayaan membanggakan dalam prestasi kewangan dan pelaksanaan projek berimpak tinggi.

Ahmad Jazlan berkata, beliau bertekad untuk meneruskan kejayaan terdahulu dan memperkukuh kedudukan FELCRA sebagai agensi peneraju pembangunan luar bandar.

“Pelantikan ini merupakan amanah untuk meneruskan khidmat. Saya tidak akan berlengah untuk terus bekerja demi mengangkat FELCRA dan masyarakat luar bandar selaras dengan amanah yang diberikan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan surat pelantikan Pengerusi FELCRA kepada Ahmad Jazlan dalam satu majlis di ibu negara semalam.

Tambah Ahmad Jazlan, FELCRA akan terus memberi tumpuan kepada inovasi teknologi pertanian, pembangunan komuniti, tenaga hijau dan kelestarian alam sekitar bagi memastikan kemakmuran masyarakat luar bandar terus inklusif dan mampan.

Sebagai rekod, sepanjang Ahmad Jazlan menerajui syarikat korporat milik penuh kerajaan itu, FELCRA berjaya merekodkan Keuntungan Boleh Agih sebanyak RM192.51 juta bagi tahun 2024, meningkat 154 peratus atau RM116 juta berbanding tahun sebelumnya.

“Kejayaan tersebut memberi manfaat kepada lebih 68,400 peserta FELCRA di seluruh negara melalui 583 projek penyatuan dan pemulihan tanah (P&P).

“Selain itu, peningkatan hasil sawit sebanyak 9.24 peratus serta penjimatan kos operasi RM401 bagi setiap hektar turut membuktikan kecekapan dan strategi pengurusan ladang FELCRA yang lebih mampan,” menurut FELCRA dalam satu kenyataan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button