LKAN: Ketakteraturan serius lebih RM460 juta libat Felcra, UKM, Tentera Darat
KUALA LUMPUR – Ketakteraturan serius dalam pengurusan perolehan melibatkan ratusan juta ringgit dikesan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Laporan tersebut mendedahkan tiga ketakteraturan serius membabitkan jumlah keseluruhan melebihi RM460 juta melibatkan Felcra Berhad, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Tentera Darat Malaysia.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, dapatan berkenaan adalah hasil daripada lima pengauditan melibatkan tujuh kementerian, dengan nilai keseluruhan program, aktiviti dan projek berjumlah RM48.87 bilion.
Antara ketirisan paling ketara, ujar beliau, membabitkan Felcra Berhad yang dikenal pasti lemah dari segi tadbir urus perolehan bagi pajakan empat ladang sawit dengan nilai keseluruhan RM241.76 juta bagi tempoh 2022 hingga 2024.
“UKM pula berdepan isu ketakteraturan serius serta kelemahan dalam proses perolehan yang melibatkan tiga tender berjumlah RM58.45 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tentera Darat Malaysia turut disebut dalam laporan itu berikutan kelemahan dalam pentadbiran kontrak dan pengurusan perolehan bagi kenderaan perisai bagi tempoh 2020 hingga 2023.
“Ia melibatkan denda RM162.75 juta yang masih belum dikutip, serta denda RM1.42 juta yang belum dikenakan terhadap syarikat disebabkan kelewatan dalam perkhidmatan senggaraan,” ujarnya.
Wan Suraya turut memaklumkan perolehan perkhidmatan senggaraan, pembaikan dan pembekalan alat ganti kenderaan perisai bernilai RM107.54 juta didapati dilaksanakan secara pecah kecil, satu tindakan yang bercanggah dengan tatacara kewangan ditetapkan.
Sebanyak 22 syor audit telah dikemukakan kepada kementerian, jabatan dan syarikat yang terlibat bagi tujuan penambahbaikan serta langkah pembetulan.
Beliau turut menjelaskan bahawa hasil audit yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) bagi tempoh 2024 hingga Jun 2025 telah berjaya membantu kerajaan memperoleh semula sebanyak RM157.73 juta, termasuk kutipan penalti, cukai dan denda.
Laporan penuh boleh diakses oleh orang awam bermula pukul 10 pagi Isnin melalui laman sesawang rasmi: http://lkan.audit.gov.my dan https://agdashboard.audit.gov.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












