Anggota komando kritikal: 2 anggota terlibat disiasat polis
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menjelaskan insiden melibatkan seorang anggota komando yang kini kritikal selepas didakwa dikenakan hukuman di Kem Iskandar, Mersing dalam siasatan pihak polis.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kes itu kini dalam perhatian pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut sewajarnya melibatkan dua anggota yang dipercayai terlibat.
“Kementerian menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa.
“Pada masa yang sama, Tentera Darat Malaysia (TDM) telah melaksanakan siasatan dalaman dan hasil siasatan tersebut akan dimajukan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, tindakan sewajarnya terhadap anggota yang terlibat akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan.
Sementara itu katanya, keadaan anggota yang terjejas terus dipantau rapi dan mangsa yang kini berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sedang menjalani rawatan pemulihan di bawah pemantauan pihak perubatan.
“Kementerian Pertahanan komited memastikan kes ini ditangani secara telus, adil dan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menuntut penjelasan segera daripada kerajaan berhubung kecederaan parah seorang anggota komando yang kini kritikal selepas didakwa dikenakan hukuman di sebuah kem tentera di Johor, Mac lalu.
Peguam LFL, N Surendran, berkata hingga kini keluarga dan pihak peguam masih belum menerima penjelasan munasabah mengenai insiden menimpa Truper Abdul Hamid Talib, 25.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












