BERITA SEMASA

Anugerah Madani Agro Excellence iktiraf pengusaha industri pertanian, makanan

SHAH ALAM – Anugerah Kecemerlangan Agro Madani menjadi platform untuk menghargai usaha gigih semua yang terlibat dalam rantaian nilai industri makanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengiktirafan yang diterima bukan sekadar satu penghormatan, tetapi amanah untuk terus menjadi contoh, peneraju dan pemangkin kepada pembangunan sektor agro makanan Malaysia.

Katanya, kerajaan melalui kementerian itu akan terus komited dalam memperkukuhkan sektor ini melalui pelbagai inisiatif seperti pemerkasaan teknologi pertanian pintar dan digital.

“Ini termasuk peningkatan produktiviti dan kecekapan rantaian bekalan makanan, penggalakan penglibatan golongan muda dan usahawan baharu dalam industri agro.

“Selain itu ia memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan. Kita percaya bahawa dengan kerjasama erat semua pihak, Malaysia mampu mencapai tahap keterjaminan makanan yang lebih kukuh serta menjadi hab agro makanan yang berdaya saing di peringkat serantau dan global,” katanya.

Mat sabu
Datuk Seri Mohamad Sabu melihat pameran sempema Anugerah Madani Agro Excellence.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Madani Agro Excellence yang turut dihadiri Pengerusi MySKALA, Fazrul Nizam Osman dan Timbalan Pengerusi MySKALA, Syed Nabil Aljeffri.

Antara pengiktirafan yang disampaikan adalah anugerah kecemerlangan industri termasuk bidang pertanian, pemprosesan makanan dan juga F&B.

Sementara itu, Fazrul Nizam yang juga pengerusi penganjur berkata, anugerah itu dianjurkan untuk memberi pengiktirafan kepada pelbagai pengusaha industri pertanian dan makanan yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan industri pemakanan negara.

Anugerah Madani Agro Excellence mengiktiraf pengusaha industri pertanian, makanan di Malaysia.

Selain itu, katanya, anugerah itu memberi pengiktirafan khas kepada penyumbang teknologi, pelopor industri yang berkesan, kerjasama koperasi cemerlang dan juga kecemerlangan bumiputera.

“Program ini memberi pengiktirafan khusus kepada kecemerlangan individu, atas dasar keusahawanan cemerlang dan juga pencapaian sepanjang hayat hasil sumbangan yang tidak ternilai kepada rantai bekalan negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button