Anwar sedia berbincang isu ‘addendum’ Najib, tetapi serah kepada mahkamah untuk putuskan
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk mengadakan perbincangan dengan pimpinan UMNO berhubung isu dekri diraja (addendum) yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Anwar berkata, isu berkenaan telah dirujuk ke mahkamah dan beliau tidak akan mengambil sebarang tindakan yang mendahului proses kehakiman.
“Saya telah maklumkan kepada Presiden UMNO, Timbalan Presiden dan pimpinan parti lain bahawa saya bersedia untuk memberi penjelasan dan berbincang jika perlu, namun keputusan akhir perlu ditentukan oleh mahkamah.
“Saya tidak boleh mendahului keputusan kehakiman,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Istiqlal, Putrajaya.
Semalam, sebanyak 145 Ketua UMNO Bahagian dari seluruh negara termasuk Sabah menggesa pelaksanaan dekri diraja yang didakwa telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membolehkan Najib menjalani hukuman secara tahanan di rumah.
Mereka juga mendesak supaya Peguam Negara menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu yang berkaitan dengan permohonan Najib.
Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah berkata, kesemua Ketua Bahagian UMNO turut menyifatkan tiada lagi alasan untuk melengahkan pelaksanaan dekri tersebut memandangkan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) sendiri tidak menafikan kewujudan addendum berkenaan.
Sebaliknya, AGC hanya mencabar dari segi prosedur pembentangan dokumen itu sebagai bukti baharu dalam semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Najib di Mahkamah Tinggi.
Isu itu terus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat serta pemerhati politik yang mempersoalkan ketelusan proses undang-undang dan implikasi terhadap prinsip kedaulatan undang-undang jika addendum itu dilaksanakan tanpa keputusan muktamad mahkamah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












