BERITA SEMASAPMX

Anwar seru golongan muda jadi tonggak banteras rasuah di Malaysia

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan muda agar tampil sebagai peneraju dalam usaha membanteras rasuah serta mengamalkan prinsip tadbir urus yang baik demi memastikan kemajuan negara berkekalan.

Beliau menekankan bahawa integriti dan kebertanggungjawaban merupakan asas penting dalam membina kepimpinan yang bersih dan masyarakat yang progresif.

“Sebab itu saya sering tekankan soal tadbir urus. Kepimpinan mesti bersih dan hentikan amalan tidak beretika ini, rasuah dalam negara.

“Saya perlukan sokongan anak muda. Anda mesti menjadi peneraju. Anda mesti berkata, cukup-cukuplah rasuah di negara ini, tiada lagi penyeludupan, tiada lagi sindiket,” katanya pada sesi ‘In Conversation with Prime Minister’ sempena International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Turut hadir pada sesi itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud.

Anwar menegaskan bahawa walaupun teori ekonomi tradisional mencadangkan kenaikan cukai untuk menjana pendapatan bagi sektor pendidikan, kesihatan, dan infrastruktur, pengalaman Malaysia menunjukkan bahawa mengekang ketirisan dan membanteras rasuah adalah langkah yang lebih berkesan.

Beliau berkongsi bahawa dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kerajaan telah berjaya memulihkan dana haram berjumlah RM15.5 bilion daripada pelbagai sindiket dan kartel.

“Masih ada ketirisan, rasuah, penyeludupan dan kegiatan kartel. Mengapa tidak kita tangani perkara ini dahulu?

“Mereka yang terlibat bukan orang kecil tetapi individu berpengaruh yang telah menyeleweng berbilion ringgit.

“Kerajaan mesti mendapatkan semula dana ini dan membelanjakannya untuk rakyat bagi pendidikan, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan anak muda,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button