BERITA SEMASALUAR NEGARA

Anwar zahir takziah kepada keluarga mangsa serangan Sydney

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden serangan di Sydney, Australia, selain mendoakan mereka yang cedera agar segera pulih sepenuhnya.

Beliau berkata, serangan berkenaan amat mengejutkan kerana meragut nyawa orang awam yang tidak bersalah serta menyebabkan ramai lagi cedera.

“Saya merakamkan ucapan takziah setulus hati kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan terhadap orang awam, khususnya serangan yang menyasarkan individu berdasarkan kaum atau agama.

“Tiada sebarang justifikasi untuk keganasan terhadap orang awam, apatah lagi serangan yang menyasarkan individu berdasarkan kaum atau agama, sama ada pada bila-bila masa atau di mana-mana. Tindakan sedemikian tidak mempunyai asas dalam mana-mana agama atau kepercayaan,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia berdiri teguh bersama rakyat dan kerajaan Australia dalam menghadapi detik sukar ini serta menyatakan sokongan penuh terhadap segala usaha untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang.

Terdahulu, agensi berita Xinhua melaporkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam kejadian tembakan di Bondi Beach, Sydney, semalam. Namun angka terbaharu yang dilaporkan setakat ini adalah 16 orang termasuk kanak-kanak.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese pula menyifatkan kejadian di Bondi sebagai terburuk dalam sejarah moden Australia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button