
Bas milik PDRM didakwa buat ‘u turn’ tidak dibenarkan disiasat
KUALA LUMPUR – Polis menjalankan siasatan berhubung sebuah bas milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikatakan membuat pusingan U di lokasi tidak dibenarkan sehingga melanggar sebuah kereta.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, video kejadian dikesan dimuat naik di akaun TikTok @deafebianschannel1, kira-kira jam 6 petang kelmarin.
Katanya, siasatan awal mendapati bas tertera tulisan ‘Polis Kuala Lumpur’ membuat pusingan U di lampu isyarat di Jalan Batu Caves berhampiran Taman Greenwood, dekat sini kira-kira jam 2.30 petang, 6 Disember lalu.
“Bas berkenaan dalam perjalanan dari arah Batu Caves, Selangor menghala ke Kuala Lumpur. Ketika cuba membuat pusingan U, bas itu mengundur dan dilihat terlanggar sebuah kereta Proton Wira putih yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftarannya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sehubungan itu beliau meminta pemilik akaun TikTok @deafebianschannel1 dan pemandu Proton Wira tampil membantu siasatan polis.
“Mereka boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Amira Abu Hassan di talian 019- 6026596 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03- 61262222,” katanya.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 112 LN 170/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959.
Rakaman video berdurasi dua minit 10 saat itu dipercayai daripada rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Kelihatan bas itu cuba membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat terbabit sedangkan lampu isyarat di laluan bertentangan juga sedang menyala hijau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












