Bekas Peguam Negara sengaja kelirukan mahkamah isu Titah Adendum – Peguam Najib
KUALA LUMPUR – Peguam kepada Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mendakwa bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, mengetahui mengenai kewujudan Titah Adendum tetapi dengan sengaja memilih untuk mengelirukan mahkamah.
Beliau berhujah dokumen bertarikh 29 Januari 2024 itu jelas dialamatkan kepada Ahmad Terrirudin ketika beliau masih menyandang jawatan Peguam Negara, namun sebaliknya mengarahkan supaya semakan kehakiman difailkan pihak pembelaan dibantah.
“Kami ada bukti kukuh beliau tahu tentang titah itu. Namun beliau berusaha menghalangnya daripada diketengahkan di mahkamah.
“Tanggungjawab untuk berlaku jujur lebih berat terhadap Ahmad Terrirudin berbanding orang lain,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, hari ini.
Muhammad Shafee turut memaklumkan bahawa Peguam Negara ketika ini, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, telah mengakui kewujudan Titah Adendum dalam prosiding di Mahkamah Persekutuan.
“Jika titah itu sudah diakui, mengapa kebenaran tidak terus diberikan? Tidakkah ini campur tangan terhadap keadilan?” soalnya lagi.
Menurutnya lagi, tindakan menghina mahkamah oleh Ahmad Terrirudin bermula sejak awal April 2024 apabila beliau mengarahkan Peguam Kanan Persekutuan membantah permohonan semakan kehakiman Najib.
Muhammad Shafee berkata, titah berkenaan telah diserahkan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar, selepas diperoleh daripada Pejabat Sultan Pahang, manakala Majlis Kesultanan Pahang turut mengesahkan ketulenan dokumen itu melalui surat rasmi pada 4 Januari lalu.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara ketika itu hanya memfailkan afidavit dengan melampirkan kenyataan media Istana Negara tanpa menegaskan kedudukan sebenar mengenai titah tersebut.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhujah bahawa semakan kehakiman yang difailkan adalah tidak berasas dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan 4 September depan untuk keputusan sama ada kebenaran diberikan bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












