Pentaksiran pendidikan Malaysia kini lebih komprehensif, bergerak selari agenda pendidikan global – KPM
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan pentaksiran pendidikan di Malaysia bergerak selari dengan agenda pendidikan global menerusi pentaksiran berorientasikan perkembangan murid secara holistik.
Menurut KPM, pentaksiran pendidikan adalah berdasarkan perbandingan yang dilaksanakan di negara serantau dan antarabangsa dalam usaha menambah baik sistem berkenaan.
Jelasnya, perbandingan itu dilakukan terhadap beberapa negara seperti Finland, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Australia, Scotland, Norway, New Zealand, Jepun, Hong Kong, serta Indonesia yang beralih daripada peperiksaan berpusat kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
“Susulan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2021 dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai 2022, KPM memberi tumpuan kepada pemerkasaan PBS membabitkan komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum serta Pentaksiran Psikometrik.
“PBS disifatkan sebagai ‘game changer’ untuk KPM beralih daripada pentaksiran berorientasikan peperiksaan ke arah pentaksiran berorientasikan perkembangan murid secara holistik.
“Fokus pembelajaran bukan hanya bertumpu kepada gred atau markah dalam peperiksaan, tetapi beralih kepada pembelajaran yang bermakna dalam suasana yang menyeronokkan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Ia bagi menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan pelan jangka pendek dan panjang kementerian bagi mengembalikan semula pelaksanaan Peperiksaan UPSR dan PT3.
KPM menjelaskan pelaksanaan PBS adalah selari dengan Incheon Declaration and the Education 2030 Framework for Action yang dibentangkan pada 21 Mei 2015 dalam World Education Forum di Incheon, Korea Selatan.
Deklarasi itu menggariskan pentaksiran pendidikan berkualiti melalui pentaksiran berterusan berasaskan bilik darjah serta pentaksiran yang lebih komprehensif merangkumi pentaksiran kognitif dan bukan kognitif.
“Sebagai usaha memperkasa PBS, KPM juga melaksanakan ujian akhir sesi akademik yang merupakan pentaksiran sumatif dalam komponen PBD. Ujian ini bersifat ‘low stake’ dan mampu mengurangkan tekanan peperiksaan kepada murid.
“Selain itu, KPM turut melakukan penambahbaikan terhadap pelaksanaan ujian akhir sesi akademik mulai sesi akademik 2024/2025, antaranya ialah menukar bentuk pelaporan daripada Tahap Penguasaan (TP) kepada bentuk peratus dan gred, serta memberikan sekolah dan guru autonomi dalam pelaksanaan ujian akhir sesi akademik.
“KPM yakin pentaksiran yang bersifat holistik dan berterusan melalui PBS yang merangkumi aspek intelektual, emosi, sosial dan jasmani merupakan pendekatan terbaik bagi mengoptimumkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” menurut KPM.
Menurut KPM, kementerian itu sentiasa cakna dan mengambil kira pandangan serta saranan semua pihak yang berkaitan dalam menentukan hala tuju pendidikan negara.
“Justeru itu, pentaksiran pendidikan secara holistik melalui PBS akan turut dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.
“Pada masa sama, KPM turut menumpukan pada enam agenda reformasi pendidikan negara dan pendekatan baharu kurikulum persekolahan 2027 serta pelan pembangunan pendidikan baharu.
“KPM beriltizam untuk memastikan semua agenda reformasi pendidikan bergerak tangkas dan berupaya memberikan pendidikan berimpak tinggi kepada generasi pewaris negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













One Comment