BERITA SEMASAPMX

Berjaya urus 60 kes pesakit jantung setiap hari, PM ucap tahniah kepada Hospital Serdang

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) khususnya pasukan Pusat Jantung Serdang atas pencapaian cemerlang dalam memberikan rawatan berkualiti tinggi kepada rakyat.

Menurut beliau, keupayaan pusat berkenaan menguruskan kira-kira 60 pesakit jantung sehari termasuk kes kritikal membuktikan tahap kepakaran, kecekapan serta kesiapsiagaan tinggi petugas kesihatan negara yang bertaraf dunia.

“Saya menghargai komitmen tinggi pasukan yang meletakkan nilai besar pada setiap nyawa, serta dedikasi tanpa henti seluruh Jabatan Kardiologi dalam memastikan pesakit menerima rawatan terbaik pada saat paling genting,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua doktor, jururawat dan kakitangan hospital atas jasa dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Anwar menyeru agar seluruh warga hospital berkenaan meneruskan kecemerlangan tersebut pada masa hadapan.

“Terima kasih kepada semua doktor, jururawat dan kakitangan atas jasa dan pengorbanan kalian. Teruskan kecemerlangan ini,” katanya.

Terdahulu, hospital tersebut memaklumkan kejayaan Pusat Jantung Serdang melalui hantaran di Facebook.

Sebagai antara pusat rawatan jantung berprestasi tinggi negara, HSIS terus mencatat angka signifikan apabila sepanjang tahun 2025, pusat tersebut telah melaksanakan sebanyak 9,483 prosedur angiogram jantung dan 6,486 prosedur Percutaneous Coronary Intervention (PCI) atau pemasangan stent jantung.

Angka itu menggambarkan beban kerja tinggi serta keyakinan pesakit terhadap perkhidmatan yang disediakan sekali gus mengukuhkan status sebagai pusat kecemerlangan jantung negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button