Bomba potong cincin besi melekat di jari
KAJANG – Gara-gara cincin besi yang dipakai terlalu ketat dan gagal ditanggalkan, seorang lelaki berusia 54 tahun berdepan situasi jarinya membengkak sehingga pasukan bomba terpaksa menjalankan operasi khas memotong cincin itu di Hospital Kajang, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.02 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba, doktor telah memberikan ubat bius kepada mangsa. Pasukan kami kemudian menggunakan mesin pemotong besi dan ‘cutter’ khas untuk mengeluarkan cincin jenis steel tersebut.
“Namun, proses berkenaan mengambil masa hampir tiga jam kerana cincin terlalu tebal selain keadaan jari mangsa yang sudah membengkak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ahmad Mukhlis, operasi bermula pada pukul 11.15 malam dan hanya selesai kira-kira pukul 1.51 pagi.
Selepas cincin itu berjaya dipotong, mangsa telah diberikan rawatan susulan oleh pihak hospital dan berada dalam keadaan stabil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












