Jaga aurat arwah: Bonda Nor seru masyarakat lebih peka kongsi kenangan mangsa korban nahas penuntut UPSI di media sosial
KUALA LUMPUR – Penulis dan tokoh motivasi terkenal, Bonda Nor menyeru masyarakat agar lebih berhati-hati dalam memuat naik gambar atau video kenangan insan tersayang yang telah meninggal dunia, terutamanya jika melibatkan isu aurat.
Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau melahirkan kebimbangan apabila melihat semakin banyak gambar dan video mangsa nahas bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini, mula tular di media sosial termasuk oleh ahli keluarga dan rakan-rakan arwah sendiri.
“Saya bimbang bila tengok gambar-gambar dan video kenangan mangsa nahas dimuat naik dengan pelbagai kapsyen menyentuh hati , ‘malam terakhir’, ‘ulang tahun terakhirnya’, ‘tenanglah di sana’.
“Tapi gambar arwah berbaju ketat, nampak lengan, nampak kaki,” tulis beliau di Facebook hari ini.

Menurutnya, meskipun niat perkongsian tersebut mungkin baik namun ia boleh mengundang dosa berpanjangan jika melibatkan aurat si mati yang tidak ditutup sempurna.
Bonda Nor mengingatkan media sosial bukanlah ruang tertutup, malah setiap gambar yang dimuat naik berpotensi ditonton oleh ribuan atau jutaan pengguna, sekali gus menyebarkan aurat arwah lebih luas lagi.
“Bimbang kalau ‘kesilapan kecil’ kita menjadi bala. Auratnya tersebar, dia mungkin terseksa di sana. Yang sebarkannya pula lebih lagi berisiko menanggung dosa,” katanya lagi.
Bonda Nor turut berkongsi pengalamannya ketika ini dalam menyunting buku biografi Kampung Kita – Mukim Kandang, Melaka yang memaparkan gambar-gambar tokoh masyarakat terdahulu.
Katanya, ada antara gambar-gambar itu menunjukkan aurat tokoh wanita yang tidak ditutup sempurna seperti rambut atau leher terdedah.
BACA : Nahas UPSI: Barangan milik pelajar terkorban dihantar pulang
“Tugas saya keluarkan gambar-gambar begini. Tanggungjawab saya, menjaga aurat sesama Muslimah.
“Mereka sudah lama meninggal dunia. Janganlah hendaknya saya turut sama menanggung dosa kerana bersubahat menyebarkannya,” jelasnya.

Beliau menegaskan pentingnya untuk setiap individu mengambil langkah awal dengan memadam gambar-gambar sendiri yang tidak menutup aurat dengan sempurna termasuk gambar zaman muda, semasa di asrama mahupun gambar dalam rumah.
“Semasa hidup ni, mungkin semua masih dalam kawalan saya. Tapi apabila saya sudah meninggal dunia, mungkin ada waris yang kurang ilmu akan menyebarkannya. Niat baik, tapi aurat tetap tersebar. Ia boleh menjadi aliran dosa berterusan,” tegas beliau lagi.
BACA : Syahid menuntut ilmu: Penghormatan terakhir buat 15 pelajar UPSI
Tambah Bonda Nor, walaupun komen pada gambar-gambar itu dipenuhi dengan ucapan takziah, al-Fatihah atau kata-kata indah, ia tetap tidak menghapuskan kesalahan jika aurat arwah terus dipertontonkan.
Bonda Nor mengakhiri seruannya dengan peringatan tegas:
“Fikir panjang sebelum buat sesuatu. Once tersebar di media sosial, once dah viral, susah nak kawal. Jadi, hati-hatilah.”
Katanya, seruan itu bukan sahaja sebagai satu peringatan buat waris si mati, tetapi juga sebagai muhasabah buat seluruh umat Islam agar lebih berwaspada dalam menjaga maruah dan kehormatan saudara seagama, terutama setelah mereka tiada.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












