PBAKL 2026: Daurah Sembuh beri pengunjung pengisian rohani, Bonda Nor lancar 10 judul buku baharu
KUALA LUMPUR — Program Daurah Sembuh anjuran Bonda Nor Sdn Bhd (BNSB) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di sini semalam, memberikan pengunjung bukan sekadar peluang membeli buku, tetapi turut memperoleh pengisian ilmu dan kerohanian.
Pengarah Urusan BNSB, Bonda Nor berkata, program berkenaan diinspirasikan daripada buku Sembuh yang memfokuskan tentang penyakit hati termasuk cara mengenal pasti, merawat dan berdepan dengan masalah tersebut dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, pelbagai topik penting diketengahkan menerusi daurah berkenaan bagi membantu masyarakat memahami kehidupan dengan lebih mendalam.
“Alhamdulillah, seramai 40 peserta hadir dan kami berharap mereka mendapat manfaat daripada program Daurah Sembuh ini.
“Dalam hiruk-pikuk suasana pesta buku yang sangat ramai, mudah-mudahan mereka dapat ditenangkan dan diberi kefahaman tentang kehidupan,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune.
Menerusi program Daurah Sembuh itu, terdapat tiga panel yang memberi tausiyah iaitu Bonda Nor; Setiausaha Pertubuhan Du’ah Faraidh Malaysia, Ustaz Hamka Idris dan Profesor Kehormat Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Siti Rugayah Tibek yang mengupas pelbagai topik mengenai penyakit hati.

Mengulas penyertaan pada edisi PBAKL 2026 kali ini, Bonda Nor berkata, pihaknya tampil dengan 10 judul buku meliputi buku motivasi, kanak-kanak dan keagamaan yang disampaikan secara santai.
Antaranya karya tulisan beliau berjudul Pujuk Aku Ya Allah dan Bicara Hati di Tanah Suci, Kemelut Hati (Prof Dr Siti Rugayah Tibek), Sembuh (Akademi Bonda Nor), Percaya (Ekpres-i United), Kerana Cika (Najma Inayah), Sayang Altamis (Hadif Ihsan) dan Hafal Al-Waqiah.

Katanya, mereka turut memperkenalkan set buku Jawi bagi memudahkan anak-anak mempelajari tulisan tersebut.
Dalam pada itu, beliau mengakui terkejut dengan sambutan pengunjung yang tetap memberangsangkan walaupun berlangsung pada musim cuti Hari Raya Aidiladha.
“Saya jangkakan pengunjung mungkin kurang sebab ramai balik kampung, tetapi rupanya peminat buku memang sudah bersedia dengan tabungan masing-masing untuk membeli buku,” katanya.

Beliau berkata, lokasi Wow Anjung Bonda Nor di aras 4, Dewan Merdeka pada tahun ini pada awalnya menimbulkan kebimbangan kerana ada pempamer menyifatkan kawasan tersebut kurang meriah berbanding lokasi lain.
Bagaimanapun, katanya, sambutan diterima tetap baik dan tidak jauh berbeza dengan lokasi luar dewan seperti tahun sebelumnya.
Menurut Bonda Nor, penyertaan mereka di pesta buku bukan semata-mata untuk mengejar jualan atau status buku terlaris, sebaliknya lebih kepada usaha meraikan pengunjung dan pasukan yang bersama menjayakan program.

“Waktu orang ramai, kami layan pengunjung. Bila keadaan tenang, saya pula luangkan masa bersama pasukan sebab mereka datang dari seluruh Malaysia.
“Kami bukan fikir tentang jualan semata-mata. Ada perkara yang lebih besar daripada itu, iaitu hubungan dan penghargaan kepada pasukan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Jualan BNSB, Faizah Ahmad berkata, antara jualan yang mendapat perhatian pengunjung ialah set Sembuh yang merangkumi buku Sembuh, Pujuk Aku Ya Allah dan Modul Hafal Al-Waqiah.

“Ketiga-tiga buku ini hanya berharga RM66. Sangat jimat memandangkan harga asalnya adalah RM110.
“Selain itu, set Hati yang memaparkan buku Kemelut Hati huraian surah Al-Nisa, Sembuh dan Hafal Al-Waqiah turut menjadi perhatian pengunjung wanita yang mempunyai kesedaran memperbaiki diri dan menambah ilmu,” jelas beliau.
Tambahnya, buku-buku terbitan BNSB merupakan bahan bacaan dakwah santai tetapi sampai di hati pembaca.
“Dengan penerangan yang lebih mudah, orang lebih mudah membacanya dan mendapat manfaat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











