BERITA SEMASA

Calon SPM 10A dapat tempat secara automatik ke matrikulasi, kuota Bumiputera tidak terjejas – KPM

KUALA LUMPUR – Semua 6,717 calon yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 akan ditawarkan tempat secara automatik ke Program Matrikulasi bagi sesi 2026/2027.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan tawaran automatik itu diberikan kepada semua calon yang memohon ke Program Matrikulasi tanpa mengambil kira kaum dan latar belakang.

“KPM akan menawarkan semua 6,717 calon yang memperoleh 10A ke atas dalam peperiksaan SPM 2025 ke Program Matrikulasi bagi Sesi 2026/2027,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KPM turut memaklumkan kuota kemasukan 90 peratus Bumiputera ke program berkenaan kekal dan tidak terjejas.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, semalam mengesyorkan semua pelajar cemerlang SPM 2025 yang memperoleh keputusan 10A wajar diberikan penempatan secara automatik dalam program matrikulasi.

Katanya, ia sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik mereka dan langkah berkenaan penting bagi memastikan akses pendidikan yang adil kepada pelajar berprestasi tinggi, di samping memanfaatkan potensi mereka untuk pembangunan negara.

Sehubungan itu katanya, DAP menggesa kerajaan meneruskan dasar terbabit selain memberi pertimbangan sewajarnya kepada pelajar cemerlang berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 13,779 calon SPM 2025 atau 3.55 peratus memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad dipetik berkata, seramai 376 calon pula mendapat gred A+ untuk semua mata pelajaran yang mana angka itu meningkat berbanding 2024.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button