KPM, UTP meterai kerjasama strategik perkasa Pendidikan Pintar Cerdas negara
SERI ISKANDAR – Kementerian Pendidikan (KPM) dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Pendidikan Pintar Cerdas (PPC) dalam usaha memperkukuh pembangunan ekosistem pendidikan pintar cerdas negara serta melahirkan generasi pemikir ulung bertaraf global.
Majlis pemeteraian itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPM, Datuk Wan Hashim Wan Rahim dan Presiden UTP, Ir Mohamed Firouz Asnan.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh KPM, Dr Zakiah Shafiee serta Provos UTP, Profesor Dr Benjamin Colin Cosh.
Menurut KPM, kerjasama strategik itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh pelaksanaan PPC yang berpusat di Akademi Sains Pendang (ASP) sebagai hab kecemerlangan pendidikan pintar cerdas negara.
“Melalui gabungan kepakaran KPM dan UTP, inisiatif berkenaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat murid berpotensi tinggi, pengayaan kurikulum, pemerkasaan guru, penyelidikan dan inovasi, pembangunan infrastruktur masa hadapan serta pengukuhan jaringan strategik bersama universiti dan industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, kerjasama tersebut turut membuka peluang kepada murid untuk menjalinkan kolaborasi dengan ahli akademik, penyelidik dan pemain industri, selain meningkatkan akses kepada program pensijilan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat secara lebih menyeluruh.
“Usaha berkenaan dijangka dapat memperkukuh pembangunan ekosistem PPC negara menerusi penyediaan peluang pembelajaran bertaraf global, penghasilan penyelidikan dan inovasi murid, pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pembentukan modal insan yang berintegriti, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya.

Menurut KPM, pemilihan UTP sebagai rakan strategik adalah berasaskan reputasi dan rekod kecemerlangan universiti itu dalam bidang penyelidikan dan STEM selain hubungan erat yang telah terjalin dengan pelbagai pemain industri.
Katanya, keupayaan tersebut diyakini mampu menyokong aspirasi KPM untuk membangunkan Akademi Sains Pendang sebagai hab Pendidikan Pintar Cerdas negara yang berupaya melahirkan saintis, inovator, pemikir ulung dan pemimpin masa hadapan bertaraf global.
Katanya, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035, KPM akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, industri dan rakan strategik bagi memastikan pembangunan bakat murid Malaysia dilaksanakan secara holistik, mampan dan berimpak tinggi demi kemajuan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












