Candat sotong jangan sampai gadai nyawa
MARANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu menegaskan aspek keselamatan di laut adalah suatu kewajipan mutlak yang tidak boleh dikompromi sama sekali, walaupun aktiviti mencandat sotong kini semakin popular dalam kalangan orang awam
Pegawai Perhubungan Awam Maritim Negeri Terengganu, Leftenan Madya Maritim Nuraisyah Najwa Mehip Abdullah berkata, aktiviti laut seperti mencandat tidak seharusnya mengatasi kepatuhan terhadap prosedur keselamatan yang ditetapkan.
“Keseronokan mencandat tidak bermakna kita boleh mengabaikan prosedur keselamatan kerana semua pihak perlu memainkan peranan penting bagi memastikan risiko kemalangan dapat dielakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat keselamatan sempena Pesta Candat Sotong anjuran Reyna X Empire dengan kerjasama Kilat Kuala Terengganu yang berlangsung di perairan Marang.
Beliau turut mengingatkan semua peserta agar memakai jaket keselamatan dan mematuhi segala arahan daripada pihak berwajib sebelum turun ke laut.
“Maritim Malaysia tidak berkompromi dalam aspek keselamatan. Peserta dan pengusaha bot perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana nyawa penumpang tidak wajar dipertaruhkan semata-mata demi keuntungan,” tegasnya.
Program tahunan melibatkan penyertaan 280 peserta dari seluruh negara dan menggunakan sebanyak 27 buah bot, sekali gus mencerminkan skala pelaksanaannya yang besar serta keperluan terhadap pengurusan keselamatan yang menyeluruh.
Maritim Negeri Terengganu turut mengambil langkah mendekati komuniti setempat dengan mengedarkan risalah keselamatan kepada para nelayan di Jeti Awam Marang.
Inisiatif itu bukan sahaja berperanan sebagai medium pendidikan keselamatan, malah sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi penguatkuasa dan komuniti maritim.
“Komuniti nelayan aset penting yang boleh bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dalam melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara,” tambah beliau.
Kerjasama strategik antara agensi keselamatan dan masyarakat maritim dilihat sebagai elemen penting dalam memastikan kelestarian dan keselamatan perairan negara terus terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












