BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dua kapal sokongan offshore ditahan gagal pamer dokumen sah

MIRI – Dua kapal sokongan luar pesisir (offshore support vessel) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri selepas gagal mempamerkan dokumen sah ketika diperiksa, petang semalam.

Penahanan dilakukan pada lokasi 9.4 batu nautika dari barat Tanjung Lobang dalam operasi bersepadu Op Permai 01/2019, OP Naga Timur, Op Tiris 3.0 dan Op Khas Pagar Laut pada pukul 6.25 hingga 6.46 petang kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, antara kesalahan dikesan adalah kegagalan melaporkan pertukaran nakhoda kepada pegawai pelabuhan dan kegagalan mengemukakan lesen perkapalan domestik (Domestic Shipping License – DSL) yang sah.

“Semasa pemeriksaan, kedua-dua vesel dikendalikan oleh 12 kru termasuk nakhoda warga tempatan dan Indonesia berumur antara 32 hingga 63 tahun.

“Mereka turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Khairol berkata, semua kru bersama kapal diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PVT) Miri dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk tindakan lanjut.

Sebahagian daripada anak-anak kapal sokongan luar pesisir yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri selepas gagal mempamerkan dokumen sah ketika diperiksa, petang kelmarin.

“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 atas dua kesalahan utama iaitu tidak melaporkan pertukaran nakhoda dan gagal mengemukakan DSL semasa pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia menegaskan komitmen dalam melakukan rondaan dan pemantauan bagi mencegah jenayah serta pelanggaran undang-undang maritim di perairan negara.

“Orang awam yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan kegiatan mencurigakan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Zon Maritim Miri di talian 085-649 111, Maritim Negeri Sarawak di 082-432544/082-432016 atau menerusi talian kecemasan 999,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button