Ceroboh perairan, lima kru kapal nelayan Vietnam ditahan Maritim Malaysia
MIRI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah bot nelayan Vietnam dan merampas kira-kira 200 kilogram ikan tuna dan peralatan menangkap ikan bernilai kira-kira RM 2 juta atas kesalahan menceroboh dan menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara, Jumaat lalu.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, penahanan bot bersama lima kru itu dilakukan pada pukul 7.16 malam, kira-kira 70 batu nautika barat laut Suai, hasil perkongsian maklumat dengan bahagian perisikan Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Menurut beliau, vesel berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 5.45 petang, sebelum cuba melarikan diri dan bertindak agresif apabila didekati aset penguat kuasa.
Bagaimanapun, ia berjaya dipintas dan ditahan bagi tujuan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati lima kru termasuk tekong lelaki berusia antara 36 hingga 53 tahun tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki warga Vietnam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairol berkata, siasatan mendapati vesel itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia, manakala tekong turut disiasat di bawah Seksyen 16(3) akta sama kerana tidak memaklumkan kemasukan ke perairan negara kepada pihak berkuasa.
Selain itu, semua kru dan tekong turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
“Antara barangan yang disita ialah kira-kira 200 kilogram ikan tuna, 300 liter diesel, pelbagai peralatan menangkap ikan serta vesel dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2 juta,” katanya.
Jika disabit kesalahan, tekong boleh dikenakan denda sehingga RM6 juta, manakala kru boleh didenda hingga RM600,000 setiap seorang di bawah Akta Perikanan 1985.
Bagi kesalahan imigresen, mereka berdepan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, serta boleh dikenakan sebatan sehingga enam kali.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan pihaknya akan terus memperketat kawalan bagi melindungi perairan negara daripada pencerobohan nelayan asing yang cuba mengaut hasil laut secara haram.
Orang ramai yang melihat sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri (085-649111) dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544 / 082-432016).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












