[VIDEO] CIMIC perkukuh jalinan rakyat–tentera, selaras aspirasi pertahanan negara
KUALA LUMPUR — Kerjasama Awam-Tentera atau Civil-Military Cooperation (CIMIC) terus memperlihatkan peranannya sebagai teras penting dalam ekosistem pertahanan negara, selari dengan hala tuju Pelan Strategik Kementerian Pertahanan (MINDEF) 2021–2025.
Pendekatan ini bukan sahaja mendekatkan rakyat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malah memperkukuh semangat patriotisme dan meningkatkan kefahaman umum terhadap peranan ATM sebagai benteng utama kedaulatan negara.
Menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF), CIMIC merupakan mekanisme penyelarasan utama antara ATM, agensi kerajaan dan masyarakat berpaksikan konsep ‘Whole of Government, Whole of Society’ (WOGOS) seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

Pelaksanaan CIMIC di Malaysia melibatkan usaha yang dapat mengeratkan hubungan antara ATM dengan masyarakat awam merangkumi pelbagai aspek seperti program kesihatan, pembangunan infrastruktur, bantuan kemanusiaan dan kecemasan, pendidikan, latihan, kempen dan penganjuran acara.
Di peringkat operasi, CIMIC bukan sahaja menyemai nilai kemanusiaan bahkan mempunyai peranan yang cukup strategik terutama dalam pengurusan bencana ketika banjir besar, tanah runtuh, kebakaran hutan dan seumpamanya.
Keupayaan ATM dalam menyediakan logistik, perubatan di lapangan, pengangkutan dan kepakaran teknikal menjadi aset penting dalam mempercepatkan gerak balas awal termasuk yang melibatkan kerjasama rentas agensi dan pihak berkenaan secara tidak langsung menjadikan ATM sebagai penggerak utama sinergi demi kedaulatan negara.
Meskipun konsep kesepaduan awam-tentera ini telah terjalin lama, perkembangan pelaksanaan CIMIC di Malaysia dapat dilihat dengan ketara sejak lima tahun kebelakangan ini, khususnya ketika negara berdepan pandemik Covid19 antara 2020 hingga 2021.

@malaysiatribune Kerjasama Awam–Tentera (CIMIC) merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan dan ATM bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan tentera dalam mempertahankan negara. Usaha ini sekaligus memupuk semangat patriotisme serta mendorong penglibatan masyarakat dalam aspek keselamatan dan pertahanan negara. #malaysiatribune #angkatantenteramalaysia #cimic
Perananan ATM dalam menggalas tanggungjawab mempertahankan keselamatan awam ketika itu digalas melalui pelbagai peranan kritikal termasuk sokongan terhadap operasi Greater Klang Valley Task Force.
Ketika itu, anggota tentera digerakkan untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengawal situasi termasuk melalui penguatkuasaan sekatan jalan raya, penugasan di hospital, pengoperasian pusat kuarantin serta penempatan petugas kesihatan tambahan.
Usaha tersebut menjadi bukti bahawa pihak tentera memainkan peranan penting dalam memastikan kesiapsiagaan negara termasuk ketika berdepan ancaman bukan tradisional.
Bahkan momentum kerjasama itu diteruskan ketika beberapa kawasan seperti Klang, Shah Alam dan Hulu Langat dilanda banjir besar pada Disember 2021. Pelaksanaan CIMIC sepanjang tempoh ini membuktikan ia bukan sekadar program bagi mendekatkan tentera dengan masyarakat tetapi satu strategi penting dalam kerangka pertahanan negara.
Melalui pengukuhan hubungan dua hala rakyat–tentera, CIMIC terus menyumbang secara langsung kepada kesiapsiagaan negara dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman, sama ada bencana, krisis kesihatan mahupun cabaran keselamatan moden.
Dengan pelaksanaan yang semakin tersusun dan sokongan padu rakyat, CIMIC kekal menjadi platform penting dalam mengukuhkan ketahanan nasional berasaskan semangat kebersamaan dan nilai kemanusiaan sejagat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












