Perolehan Jet F/A-18 dari Kuwait belum dimuktamadkan – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan bahawa ketetapan berhubung program perolehan pesawat F/A-18 terpakai dari Kuwait masih belum dimuktamadkan dan hanya akan diputuskan selepas penilaian menyeluruh dilakukan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau berkata, penilaian itu akan dibuat oleh pasukan Jawatankuasa Bersama / Teknikal TUDM (Joint Committee) yang dijadualkan membuat lawatan kerja ke Kuwait bagi menilai keadaan pesawat berkenaan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Hasil penilaian itu akan menentukan sama ada pesawat berkenaan sesuai untuk digunakan sebagai langkah sementara dalam memperkukuh keupayaan sedia ada TUDM,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH–Pasir Gudang) yang meminta penjelasan mengenai perancangan kerajaan untuk memperoleh pesawat baharu dan moden, berbanding pesawat terpakai.
Mohamed Khaled menjelaskan, program perolehan itu merupakan langkah strategik jangka pendek atau ‘gap filler’ bagi menampung keperluan operasi pesawat F/A-18D Hornet sedia ada, sebelum pelaksanaan program pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) di bawah Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK14).
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata pesawat F/A-18D Hornet yang dibeli pada 1997 masih diyakini selamat digunakan, walaupun sebuah daripadanya terlibat dalam nahas di Kuantan, Pahang, Ogos lalu.
“Siasatan mendapati nahas berpunca daripada perlanggaran dengan burung (bird strike) pada enjin dan tidak melibatkan masalah teknikal. Oleh itu, pesawat ini masih boleh digunakan sehingga 2035 hingga 2040,” jelasnya.
Selain itu, beliau memaklumkan pesawat Sukhoi Su-30MKM yang kini berusia 18 tahun sedang melalui Program Pelanjutan Hayat Perkhidmatan (Service Life Extension Programme – SLEP) dan seterusnya akan menjalani Program Naik Taraf Pertengahan Hayat (Mid Life Upgrade – MLU).
“Langkah ini penting bagi memastikan pesawat kekal selamat dan berkeupayaan sehingga tahun 2040, sebagaimana digariskan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55),” katanya.
Langkah perolehan pesawat F/A-18 terpakai dari Kuwait itu dilihat sebagai pendekatan pragmatik kerajaan untuk memastikan kesiapsiagaan pertahanan udara negara terus terjamin sementara menunggu perolehan baharu dalam pelan jangka panjang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












