DAP kecam tindakan Dr Akmal teruskan demonstrasi
Arah DAPSY seluruh negara buat laporan polis
KUALA LUMPUR – Parti DAP mengecam tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh kerana mengetuai perarakan dan demonstrasi di depan sebuah kedai di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.
Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, beliau kesal dengan tindakan Dr Akmal yang mengadakan demonstrasi itu walaupun Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang memberi amaran supaya ia tidak diteruskan.
“Tindakan tersebut merupakan satu bentuk buli dan ugutan terhadap peniaga tersebut walaupun siasatan masih dijalankan.
“Malah peniaga terbabit sudah memohon maaf terhadap kesilapan pemasangan bendera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anthony turut berkata, tindakan Dr Akmal yang tidak mengendahkan amaran pihak polis itu merupakan satu perbuatan mencabar kedaulatan undang-undang.
“Bahkan tindakan Dr Akmal itu mengganggu ketenteraman awam menyebabkan kegusaran peniaga-peniaga di sekitar kawasan tersebut sehingga mereka terpaksa menutup perniagaan mereka lebih awal.
“Perbuatan seperti ini melampaui batas undang-undang dan norma masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Hukuman setimpal perlu dijatuhkan terhadap perbuatan melampau seperti ini,” katanya lagi.
Laporan media semalam menyebut, Pemuda UMNO dan Armada BERSATU masing-masing diketuai Dr Akmal dan Hilman Idham mengadakan perhimpunan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di hadapan sebuah kedai logam di Taman Bertam Permata, Kepala Batas.
Lebih 500 anak muda mewakili Pemuda UMNO, Armada PERSATU dan Pas yang berarak bersama mengibarkan Jalur Gemilang sejauh 1.4 kilometer sebagai simbol perpaduan mempertahankan maruah bendera negara.
Susulan itu, kata Anthony, beliau mengarahkan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap kejadian semalam.
“Laporan dibuat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan), Seksyen 505 Kanun Keseksaan (mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam).
“Laporan polis juga akan dibuat di bawah seksyen-seksyen baharu untuk menangani buli.
“Antaranya Seksyen 507B Kanun Keseksaan (menyebabkan mangsa mengalami gangguan, distres, ketakutan atau kebimbangan) dan 507C Kanun Keseksaan (mengeluarkan kata-kata berkemungkinan menyebabkan mangsa terganggu, distres, takut atau bimbang),” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












