DBKL diminta kaji semula rancangan pelebaran jalan
KUALA LUMPUR – Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta meneliti semula rancangan pelebaran jalan di Desa Pandan yang menjejaskan golongan penjaja gerai di kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keputusan itu dibuat tanpa melalui sesi libat urus bersama beliau dan kumpulan peniaga yang bakal terjejas akibat perobohan gerai yang dilakukan bagi pelebaran jalan tersebut.
“Mereka ini sudah berniaga di sini bertahun-tahun, dan mereka diberi lesen. Ini adalah punca pendapatan mereka. Apabila pihak DBKL tiba-tiba datang merobohkan gerai tempoh hari, mereka amat terkejut.
“Kenapa perlu robohkan gerai untuk projek pelebaran jalan sedangkan ini bukan laluan utama? Kalau DBKL robohkan sembilan gerai di sini, bagaimana pula nasib 60 peniaga yang beroperasi dekat gerai di hadapan sana?” katanya.
Johari berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke kawasan tersebut, semalam.
Beliau turut mempersoal kewajaran pelaksanaan projek yang dikatakan untuk memberi laluan kepada kenderaan berat, termasuk treler.
“Difahamkan, DBKL sudah lantik kontraktor projek ini, sebelum buat libat urus dengan wakil rakyat dan penduduk. Tak logik kalau hanya besarkan jalan di sini, kemudian kurang 100 meter di hadapan akan kembali kecil.
“Saya sebenarnya mahu cadangkan supaya laluan ini ditutup kerana ia hanyalah jejambat merentasi saluran perparitan, selain banyak kali treler tersangkut ketika melalui jalan terbabit.
“Saya rasa pelaksanaan projek ini perlu ditangguhkan, selain bersedia berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












