DBKL tutup, sita 5 premis hiburan dalam operasi bersepadu bersama PDRM dan AADK
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melaksanakan Operasi Tindakan Khas Premis Hiburan dan Snuker di sekitar ibu negara dalam usaha berterusan membanteras aktiviti tanpa lesen serta pelanggaran syarat perniagaan.
Operasi bersepadu yang dijalankan pada Sabtu lalu bermula pada pukul 9 malam sehingga 3 pagi Ahad itu tertumpu di kawasan Jalan Ipoh, Chow Kit dan Jalan Tun Razak, melibatkan pemeriksaan ke atas lima premis yang menjalankan aktiviti pusat hiburan dan permainan snuker.

“Hasil pemeriksaan, dua premis dikenakan tindakan penutupan serta-merta, manakala empat premis disita pelbagai peralatan.
“Sebanyak tujuh notis kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti menjalankan perniagaan tanpa lesen sah, menggaji pembantu warga asing serta menganjurkan aktiviti hiburan di luar waktu yang dibenarkan dalam lesen,” menurut kenyataan DBKL di Facebook.
Tindakan penguatkuasaan itu dijalankan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016; Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016; Kaedah-Kaedah Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1993 dan Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992.
BACA : Kerja meroboh struktur haram tapak niaga Desa Pandan ikut prosedur sah – DBKL
Sementara itu, PDRM dan AADK turut menjalankan saringan air kencing terhadap pelanggan dan individu di lokasi operasi.
Empat individu didapati positif dadah dan telah ditahan oleh AADK untuk siasatan lanjut.
Menurut DBKL, operasi seumpama itu akan diteruskan secara berkala bagi memastikan pengusaha premis hiburan mematuhi undang-undang dan lesen yang ditetapkan.
“DBKL tidak akan berkompromi terhadap mana-mana premis yang melanggar syarat pelesenan dan menjejaskan ketenteraman awam. Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” tegas kenyataan itu.
Orang awam digalakkan menyalurkan sebarang aduan atau maklum balas berkaitan aktiviti premis hiburan haram menerusi pautan aduan rasmi DBKL.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











