DBKU ambil tindakan terhadap individu panjat papan tanda jalan
KUCHING – Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan bertindak tegas terhadap tiga individu yang memanjat struktur papan tanda jalan serta tiang lampu, seperti yang tular di aplikasi TikTok baru-baru ini.

Menurut DBKU, perbuatan itu bukan sahaja membahayakan keselamatan diri, malah boleh merosakkan harta awam serta mencemar imej bandar raya Kuching.
“Perbuatan menampal pelekat, poster atau bahan lain pada papan tanda jalan tanpa kebenaran adalah kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 22(1)(b), Local Authorities (Cleanliness) By-laws, 1999.

“Sesiapa yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM1,500 dan denda tambahan RM3,000 atau penjara sembilan bulan bagi kesalahan berikutnya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Selain itu, DBKU akan membuat laporan polis bagi siasatan lanjut berhubung tingkah laku tidak sopan individu terbabit di bawah undang-undang ketenteraman awam.

DBKU menasihati orang ramai supaya sentiasa menghormati kemudahan awam dan menjaga tingkah laku demi kesejahteraan bersama dan menyeru kerjasama semua pihak untuk memastikan Kuching kekal bersih, selamat dan berdaya huni.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











