TikTok, Content Forum dan MCMC lancar panduan #ThinkTwice tingkat keselamatan digital remaja
KUALA LUMPUR – Usaha melindungi remaja di alam maya diperkukuh apabila TikTok, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bergabung melancarkan Panduan #ThinkTwice Ibu Bapa, semalam.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada kempen literasi digital #ThinkTwice yang memfokuskan keselamatan dalam talian melalui pendekatan berasaskan komuniti, selain memberi perhatian kepada hak kanak-kanak untuk mengakses maklumat dan melindungi privasi mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum, Mediha Mahmood berkata, kesejahteraan digital remaja amat bergantung kepada peranan keluarga kerana tabiat ketika berada di Internet banyak dipengaruhi suasana di rumah.
Beliau berkata, keselamatan dalam talian tidak bermaksud mengekang remaja daripada dunia digital sepenuhnya, sebaliknya membina budaya yang sihat melalui sokongan ibu bapa.
“Internet hanyalah cerminan kepada isu sosial sebenar dan tabiat positif bermula daripada komuniti yang sedar serta responsif,” memetik BH online.
Mediha berkata, ibu bapa perlu dibekalkan pengetahuan untuk memupuk kreativiti anak sambil menanamkan sifat berhati-hati dan menggalakkan rutin sihat, selain mewujudkan perbualan yang bermakna bersama remaja mengenai penggunaan teknologi.
Sementara itu, Ketua Dasar Awam Malaysia TikTok, Firdaus Fadzil berkata, cabaran yang dihadapi remaja seperti buli, tekanan rakan sebaya, isu kesihatan mental dan tabiat berbahaya bukanlah sesuatu yang baharu.
“Namun, peranan ibu bapa kekal sebagai faktor paling penting dalam membimbing tingkah laku digital anak-anak
“Ibu bapa adalah pihak yang paling rapat dengan anak dan memahami keperluan mereka, justeru TikTok mahu memperkasakan keluarga dengan panduan serta ciri keselamatan platform supaya remaja dapat menggunakan Internet dengan lebih selamat dan bertanggungjawab,” katanya lagi.
Firdaus menjelaskan bahawa Panduan #ThinkTwice memberi panduan praktikal kepada ibu bapa melalui penggunaan ciri keselamatan TikTok yang lebih menyeluruh, selari dapatan kajian global yang menunjukkan penglibatan aktif keluarga mampu meningkatkan keselamatan digital remaja.
Dalam kenyataan sama, MCMC memaklumkan pelancaran panduan itu melengkapkan Kempen Internet Selamat di bawah agensi tersebut dan menyokong usaha kerajaan memperkukuh ekosistem digital yang selamat dan bertanggungjawab.
MCMC turut berkata, walaupun platform digital seperti TikTok memainkan peranan penting melindungi pengguna, hak kanak-kanak untuk mengakses maklumat secara sesuai dengan usia tetap perlu dipelihara.
Panduan itu turut memfokuskan kepada peranan ibu bapa untuk lebih cakna terhadap aktiviti digital anak termasuk memantau interaksi, menyesuaikan tetapan keselamatan dan membina dialog terbuka mengenai risiko serta pengalaman mereka di Internet.
“Melalui hab pengetahuan #ThinkTwice yang disediakan, ibu bapa boleh mengakses bahan rujukan seperti panduan keselamatan mental, pencegahan penipuan dan literasi digital bagi meningkatkan keupayaan remaja membuat keputusan yang lebih baik ketika melayari dunia maya.
“Inisiatif ini dijangka menjadi rujukan penting kepada keluarga dalam membina daya tahan digital remaja dan memastikan mereka mampu meneroka dunia dalam talian dengan lebih yakin serta selamat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












