Dua kapal tangki ditahan ketika pindah minyak tanpa kebenaran di perairan Bintulu
BINTULU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan dua buah kapal tangki yang disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan Bintulu, kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, kedua-dua kapal terbabit ditahan sekitar 10 batu nautika dari muara Sungai Kemena oleh aset rondaan Maritim Malaysia yang ketika itu menjalankan Operasi TIRIS 3.0 dan Operasi PERMAI 01/2019.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati sebuah kapal tangki sedang merapat di sisi kapal tangki lain yang sedang bersauh dan dipercayai sedang melakukan pemindahan minyak diesel tanpa kebenaran sah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Tambah beliau, tangkapan pertama dilakukan sekitar jam 4.25 pagi, melibatkan sebuah kapal tangki yang dikendalikan empat kru iaitu dua warga Indonesia termasuk nakhoda dan dua warga India berumur antara 27 hingga 46 tahun.
Tangkapan kedua pula dilakukan sekitar jam 5 pagi terhadap kapal tangki kedua yang dikendalikan empat kru, masing-masing seorang warga Indonesia dan Myanmar serta dua warga Vietnam berumur antara 25 hingga 48 tahun.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, kru warga Myanmar dan dua warga Vietnam gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” ujar beliau.
Kedua-dua kapal dan kru terbabit telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut di bawah beberapa perundangan termasuk Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Akta Kastam 1967, Akta Petroleum (Langkah-langkah Keselamatan) 1984, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.
Turut disita dalam operasi itu ialah anggaran 169,600 liter minyak diesel yang dipercayai dipindahkan tanpa kelulusan.
Maritim Malaysia mengingatkan bahawa sebarang aktiviti pemindahan kargo di laut tanpa kebenaran adalah satu kesalahan serius yang boleh mengundang risiko keselamatan, pencemaran dan mencabul kedaulatan perairan negara.
Orang ramai terutama komuniti maritim diseru agar mematuhi undang-undang dan segera melaporkan aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu (086-314254) atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












