JENAYAH & MAHKAMAH

Lesen operasi tamat tempoh, vesel nelayan ditahan di perairan Pulau Pangkor

LUMUT – Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak selepas didapati beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh ketika rondaan di perairan Pulau Pangkor, di sini semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan tersebut dilakukan pada pukul 4.38 petang di kedudukan kira-kira lapan batu nautika barat Pulau Pangkor ketika kapal Maritim Malaysia sedang melaku rondaan.

Jelas beliau, pemeriksaan mendapati vesel berkenaan masih menjalankan aktiviti penangkapan ikan walaupun lesen operasi telah tamat tempoh.

“Hasil pemeriksaan turut mendapati vesel terbabit dikendalikan oleh empat warga Thailand termasuk tekong serta 18 awak-awak warga Kemboja.

“Kesemua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shukri turut memaklumkan, kesemua kru, vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut telah ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh seterusnya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan siasatan di bawah Akta Perikanan 1985.

Beliau juga menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi untuk sebarang pelanggaran undang-undang maritim, khususnya melibatkan pengoperasian vesel tanpa lesen sah.

“Tindakan penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu akan terus diperkukuh bagi memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan perairan negeri Perak sentiasa terpelihara,” tambah beliau.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di 05-683 8737 bagi tindakan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button